BERITA TERKINI   PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

PM Anwar Sampaikan Ucaptama Di KazanForum, Kemuncak Lawatan Rasmi Pada Hari Terakhir Di Rusia

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

KAZAN (Tatarstan), 16 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptama bertemakan digitalisasi pada Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-16 (KazanForum 2025), sekali gus merupakan acara kemuncak, memasuki hari terakhir lawatan rasmi beliau ke Persekutuan Rusia.

Anwar yang tiba di sini semalam, dijangka menyampaikan ucaptama bertajuk “Digitalisation: New Reality and Additional Opportunities for Expanding Cooperation” semasa sesi pleno pada kira-kira 2.30 petang (waktu Kazan).

KazanForum merupakan platform utama bagi memupuk kerjasama ekonomi antara Rusia dan negara-negara Islam.

Terdahulu, Perdana Menteri memulakan jadualnya yang padat seawal 9 pagi dengan menyertai forum ekonomi berkenaan, bertempat di Kazan Hi-Technology Park.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berpeluang melawat sekitar taman teknologi tersebut, yang dibangunkan pada 2009 dan merupakan taman teknologi pertama di Rusia yang terlibat dalam pembangunan syarikat dalam bidang teknologi maklumat.

Kazan, yang terletak lebih 830 kilometer dari Moscow atau lebih lapan jam perjalanan menerusi jalan darat, merupakan bandar terbesar dan ibu negeri Republik Tatarstan.

Ia turut dikenali sebagai bandar industri, komersial dan pusat kebudayaan utama orang Tatar.

Sementara itu, Perdana Menteri juga dijangka menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri Republik Tatarstan Aleksei Pesoshin bertempat di Tatarskaya Usadba.

Anwar kemudiannya dijadualkan mengadakan sidang media sebelum mengakhiri lawatan rasmi di Persekutuan Rusia dan akan berangkat pulang ke Malaysia pada 6 petang (waktu Kazan).

Dalam lawatan rasmi itu, Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pada 2024, Rusia adalah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (US$2.48 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan alat ganti serta makanan yang diproses manakala import dari Rusia terdiri daripada terutamanya produk petroleum, mineral serta kimia dan produk berasaskan kimia.

-- BERNAMA