BERITA TERKINI   CBH Engineering raih kontrak mereka dan membina sistem bekalan elektrik untuk pencawang pengguna cadangan pusat data di Selangor, bernilai RM171.99 juta | Sistem Alamat Nasional mampu jana limpahan ekonomi RM2 billion, wujud lebih 2,000 pekerjaan dalam lima tahun - Fahmi Fadzil | 

Pasaran Getah Seiring Niaga Hadapan Serantau, Ringgit Dan Harga Minyak Mentah Minggu Depan

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka seiring dengan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta harga minyak mentah penanda aras, kata seorang peniaga.

Peniaga berkenaan berkata unjuran pasaran itu dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap penyusutan bekalan getah asli dari negara pengeluar utama disebabkan musim hujan serta keyakinan terhadap kemungkinan gencatan perdagangan di antara AS dengan China.

“Para pemain pasaran akan memantau perkembangan berkaitan rundingan perdagangan AS selain turut memberi perhatian kepada rancangan rangsangan ekonomi China,” kata peniaga tersebut kepada Bernama.

Sementara itu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pasaran getah dijangka menunjukkan aliran meningkat minggu depan berikutan jangkaan lonjakan permintaan untuk penyimpanan stok dalam tempoh penangguhan pengurangan tarif selama 90 hari.

MARGMA berkata penangguhan tarif sementara di antara AS dengan China selama 90 hari sedikit sebanyak meningkatkan sentimen global selain unjuran pasaran getah untuk minggu depan mungkin menunjukkan beberapa petanda positif.

Persatuan itu berkata harga minyak turut menunjukkan momentum peningkatan.

Sehubungan itu, harga getah akan terus dipengaruhi oleh niaga hadapan getah serantau, prestasi ringgit berbanding dolar AS serta pergerakan harga minyak mentah penanda aras.

Bagi minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 meningkat sebanyak tiga sen kepada 759 sen sekilogram manakala lateks pukal naik sebanyak 4.5 sen kepada 609 sen sekilogram.

-- BERNAMA