BERITA TERKINI   Tarif AS: Malaysia perlu mencapai tahap konsensus yang tinggi dalam isu seperti keselamatan ekonomi, pembelian produk buatan AS dan meningkatkan pelaburan di negara itu untuk membantu mengimbangi perdagangan Malaysia-AS - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia mahu mencapai perjanjian seimbang yang memberi manfaat kepada negara dan bukan hanya sekadar untuk memuktamadkan perjanjian - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia tidak akan berkompromi bila melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara - Tengku Zafrul | Malaysia kekal optimistik untuk menyelesaikan isu berkaitan tarif susulan keinginan AS untuk terus melakukan rundingan bersama - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia tidak akan berkompromi bila melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara - Tengku Zafrul | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup rendah hari ini apabila ketegangan geopolitik mereda dan pasaran global kembali stabil.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata apabila aset berisiko dan pasaran bon semakin stabil sepanjang sesi Asia dan London, permintaan terhadap aset selamat tradisional seperti emas sedikit menurun.

“Namun, emas kekal disokong oleh kebimbangan struktur, terutamanya defisit fiskal AS yang semakin meningkat, yang terus menjejaskan keyakinan terhadap dolar dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Bernama.

Kontrak bulan semerta Mei 2025 turun kepada US$3,310.80 setiap auns troy daripada US$3,317.20 setiap auns troy semalam, manakala kontrak Jun 2025 merosot kepada US$3,323.80 setiap auns troy daripada US$3,330.20 setiap auns troy.

Kontrak Julai, Ogos dan Oktober 2025 masing-masing jatuh kepada US$3,337.50 setiap auns troy daripada US$3,343.90 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan menurun kepada 559 lot daripada 665 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka susut kepada 597 kontrak daripada 698 kontrak semalam.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 21 Mei, harga emas fizikal berada pada US$3,299.65 setiap auns troy.

-- BERNAMA