Bursa Malaysia Meningkat Didorong Minat Belian Sederhana

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia menyaksikan dagangan lebih tinggi pada tengah hari Jumaat di tengah-tengah minat belian sederhana, khususnya bagi saham wajaran tinggi terpilih.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.35 mata atau 0.48 peratus kepada 1,534.37 daripada paras 1,527.02, semalam.

Indeks itu dibuka menokok 4.91 mata kepada 1,531.93 dan bergerak turun naik antara 1,531.76 dan 1,536.75 sepanjang sesi dagangan awal.

Pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 395 berbanding 372 manakala 455 lain tidak berubah, 1,197 tidak diniagakan dan 41 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.56 bilion unit bernilai RM1.12 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata pelabur atau dana asing sedang mengurangkan kedudukan di pasaran serantau susulan kebimbangan ketara mengenai defisit belanjawan Amerika Syarikat serta kadar faedahnya.

“Walaupun berharap menyaksikan pemulihan segera, kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,520-1,530 hari ini,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Saham wajaran tinggi Maybank meraih 6.0 sen kepada RM9.88, Public Bank meningkat 9.0 sen kepada RM4.39, Tenaga Nasional menokok 4.0 sen kepada RM14.04, CIMB menambah 11 sen kepada RM6.96, IHH Healthcare dan CelcomDigi kekal pada RM6.88 dan RM3.82 manakala MISC susut 1.0 sen kepada RM7.65.

Bagi saham aktif, Eco-Shop yang baru disenaraikan di Pasaran Utama, meningkat 8.0 sen kepada RM1.21, Astro naik 2.0 sen kepada 20.5 sen, Tanco meraih 2.5 sen kepada 97.5 sen, Aizo kekal pada 8.5 sen, Barakah Offshore turun 2.5 sen kepada setengah sen dan YTL Corp berkurangan 14 sen kepada RM1.85.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 52.18 mata kepada 11,471.84, Indeks FBMT 100 meraih 54.74 mata kepada 11,230.49, Indeks FBM Emas Shariah menambah 39.64 mata kepada 11,422.66, Indeks FBM 70 melonjak 83.64 mata kepada 16,365.51 dan Indeks FBM ACE susut 9.07 mata kepada 4,603.48. 

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 163.70 mata kepada 18,096.95, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.66 mata kepada 154.41, Indeks Tenaga menokok 7.47 mata kepada 714.17 dan Indeks Perladangan menambah 19.23 mata kepada 7,325.04. 

-- BERNAMA