BERITA TERKINI   Tarif Trump: Malaysia masih dalam rundingan dan akan bangkitkan isu itu ketika bertemu Setiausaha Negara AS - PM Anwar | Tarif Trump: Hubungan dengan AS harus dikekalkan, namun Malaysia perlu pertahan pendirian sebagai negara dagang - PM Anwar | Autonomi strategik ASEAN perlu terus dipertahankan memandangkan prinsipnya semakin diterima meluas melangkaui rantau ini - Mohamad Hasan | ASEAN perlu tumpu usaha pastikan Asia Tenggara bersedia hadapi masa hadapan - Mohamad Hasan | ASEAN telah mencapai kedudukan cemerlang dan mendapat penghormatan di pentas antarabangsa - PM Anwar | 

Kapasiti Penggunaan Industri Pembuatan Capai 81.8 Peratus Pada Suku Pertama 2025

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kapasiti penggunaan industri pembuatan Malaysia mencapai 81.8 peratus pada suku pertama 2025, meningkat sebanyak 1.0 mata peratus daripada 80.8 peratus berbanding suku sama pada tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ini adalah selari dengan prestasi indeks pengeluaran perindustrian bagi sektor pembuatan yang meningkat 4.2 peratus tahun ke tahun pada suku berkenaan.

“Pada suku pertama 2025, subsektor yang mencatatkan kapasiti penggunaan melebihi 80 peratus dengan kadar tertinggi direkodkan oleh subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka; pada 85.2 peratus, meningkat 2.3 mata peratus.

“Ini diikuti dengan peningkatan 2.5 mata peratus dalam subsektor produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut pada kadar 82.6 peratus,” kata beliau.

Mohd Uzir berkata bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, kapasiti penggunaan industri pembuatan merekodkan penurunan kecil 0.1 mata peratus daripada 81.9 peratus pada suku keempat 2024.

“Peningkatan tahun ke tahun dalam prestasi kapasiti penggunaan bulanan direkodkan sepanjang suku pertama 2025 iaitu Januari 2025 (81.8 peratus; +0.9 mata peratus), Februari 2025 (81.2 peratus; +1.4 mata peratus) dan Mac 2025 (82.5 peratus; +0.8 mata peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport pada suku tahun ini meningkat 1.1 mata peratus tahun ke tahun kepada 80.6 peratus daripada 79.5 peratus pada suku pertama 2024.

“Kadar tertinggi dicatatkan dalam subsektor pembuatan perabot; dan pembuatan jentera dan peralatan yang masing-masing meningkat sebanyak 0.4 mata peratus kepada 88.4 peratus dan naik 2.2 mata peratus kepada 85.9 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, katanya tiga industri merekodkan kapasiti penggunaan di bawah 80 peratus iaitu pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (72.8 peratus); pembuatan kayu dan produk kayu dan gabus, kecuali perabot, pembuatan bagi artikel jerami dan bahan-bahan anyaman (75.4 peratus); dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (79.2 peratus). 

Berbanding suku keempat 2024, beliau berkata kadar kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport menurun secara marginal 0.3 mata peratus daripada 80.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Menurutnya selain itu, kapasiti penggunaan industri berorientasikan domestik kekal positif walaupun pada kadar yang lebih perlahan iaitu 0.9 mata peratus kepada 84.5 peratus pada suku pertama 2025.

“Kebanyakan industri dalam segmen ini mencatatkan kadar kapasiti penggunaan tertinggi terutamanya pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan (+3.4 mata peratus; 86.6 peratus); dan pembuatan produk galian bukan logam lain (+1.8 mata peratus; 87.3 peratus). 

“Sementara itu, pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler merekodkan penurunan untuk mencatatkan kadar 82.9 peratus; dan diikuti oleh industri pembuatan kertas dan produk kertas dengan 77.9 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata faktor seperti permintaan yang rendah, bekalan bahan yang tidak mencukupi; dan pembaikan dan penyelenggaraan mesin dan kelengkapan kekal sebagai punca utama kepada kapasiti penggunaan tidak penuh dalam industri pembuatan.

“Berbanding suku tahun sebelumnya, kapasiti penggunaan industri berorientasikan domestik meningkat 0.6 mata peratus daripada 83.9 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata kadar kapasiti penggunaan industri pembuatan bagi tujuh negeri telah melepasi kadar nasional pada suku pertama 2025 iaitu Labuan (98.5 peratus); Terengganu (86.7 peratus); Johor (85.2 peratus); Pahang (84.5 peratus); Melaka (84.2 peratus); Selangor (83.6 peratus); dan Negeri Sembilan (83.0 peratus).

“Kadar kapasiti penggunaan terendah dicatatkan oleh Kelantan sebanyak 66.2 peratus menurun 3.6 mata peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

-- BERNAMA