BERITA TERKINI   Amalkan politik matang, jangan main isu gugat perpaduan, titah Tengku Hassanal | KPKM kurangkan kebergantungan import jagung, soya, beras dan bawang susulan ketidaktentuan geopolitik global - Mohamad | Malaysia sokong mempercepat pelaksanaan Rangka Kerja Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN - PM Anwar | ASEAN terus menggesa kepada keamanan dan usaha meredakan ketegangan, namun perlu bersikap realistik - PM Anwar | PM Anwar cadang pelan keterjaminan makanan serantau sebagai persediaan semasa krisis | 

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China Cerminkan Kejayaan Bentuk Semula Corak Kerjasama Di Sebalik Dunia Multipolar

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan  penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang akan berlangsung buat kali pertama hari ini, mencerminkan kejayaan dalam membentuk semula corak kerjasama sejajar dengan realiti dunia multipolar hari ini. 

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata sidang trilateral berkenaan melambangkan kekuatan perpaduan blok serantau dan dijangka membawa kesan positif kepada dunia secara keseluruhan.

"Hari ini akan menyaksikan tumpuan utama kepada pengukuhan kerjasama ASEAN bersama rakan strategik, menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak trilateral ASEAN-GCC-China buat julung kalinya. 

"Kedua-dua sidang ini akan membincangkan langkah konkrit untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi ASEAN untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

Untuk rekod, skala ekonomi gabungan ASEAN, GCC dan China kini mencecah hampir US$25 trilion dengan populasi berjumlah lebih dua bilion orang.

ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) US$3.8 trilion manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah US$696.7 bilion.

Tunku Nashrul berkata, selain dua sidang kemuncak berkenaan, turut berlangsung hari ini adalah Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-16 dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16.

Beliau berkata kedua-dua sidang kemuncak berkenaan akan memperkemas agenda pembangunan subrantau dan mengukuhkan keterhubungan rentas sempadan dalam kalangan negara terlibat.

Kesemua sidang kemuncak itu adalah antara acara yang dianjurkan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

-- BERNAMA