BERITA TERKINI   Polis buka kertas siasatan susulan laporan palsu kemangkatan Sultan Kelantan - Ketua Polis Kelantan | 

Alliance Bank Catat Keuntungan Bersih Tinggi RM750.72 Juta Bagi Tahun Kewangan 2025

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Alliance Bank Malaysia Bhd melonjak kepada RM750.72 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 daripada RM690.47 juta pada Tahun Kewangan 2024, disokong oleh pertumbuhan hasil meskipun peruntukan tinggi bagi jangkaan kerugian kredit dan perbelanjaan operasi.

Hasil turut meningkat kepada RM2.26 bilion daripada RM2.02 bilion.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Alliance Bank berkata pertumbuhan hasilnya disokong oleh peningkatan dalam pendapatan faedah bersih (NII) dan juga pendapatan bukan faedah (NOII).

Bank itu berkata NII meningkat sebanyak RM226.4 juta atau 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.95 bilion, sebahagian besarnya disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman manakala NOII naik sebanyak 7.7 peratus kepada RM323.4 juta. 

“Margin faedah bersih bagi tempoh itu adalah pada 2.45 peratus berbanding 2.48 peratus pada Tahun Kewangan 2024 manakala pendapatan operasi lain berjumlah RM23 juta atau kenaikan 7.7 peratus,” katanya.

Bagi Tahun Kewangan 2025, perbelanjaan mengurus meningkat sebanyak RM114.8 juta atau 11.8 peratus manakala pertumbuhan pinjaman menokok 12 peratus mencecah RM62.4 bilion, didorong oleh kemajuan dalam semua bidang perniagaan.

Alliance Bank mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 9.9 sen sesaham bagi 1.54 bilion saham biasa, berjumlah kira-kira RM153.26 juta yang akan dibayar pada 26 Jun 2025, kepada pemegang saham yang berdaftar dalam rekod pendeposit bank setakat 5.00 petang pada 13 Jun, 2025.

"Jumlah dividen yang diisytiharkan bagi Tahun Kewangan 2025 ialah 19.40 sen," kata bank itu.

Pada suku keempat Tahun Kewangan 2025, keuntungan bersih bank meningkat kepada RM197.49 juta daripada RM177.74 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM563.24 juta daripada RM516.16 juta.

Mengenai prospek masa depan, Alliance Bank berkata ia akan terus memantau perkembangan global terutamanya potensi peningkatan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan global dan pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun kami akan terus meningkatkan mutu produk, perkhidmatan dan teknologi kami untuk memacu pertumbuhan masa depan, mengembangkan pinjaman secara berhemat, mempelbagaikan sumber deposit dan mengukuhkan pengurusan risiko pada Tahun Kewangan 2026,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kellee Kam berkata keputusan tinggi yang dicapai pada Tahun Kewangan 2025 itu mencerminkan kejayaan pelaksanaan strategi Acceler8 dan mengukuhkan trajektori pertumbuhan jangka panjangnya.

“Kami terus menumpukan kepada pertumbuhan mampan dan mencipta nilai jangka panjang untuk kesemua pemegang kepentingan kami,” katanya.

-- BERNAMA