Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Aktiviti Pengambilan Untung
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini susulan aktiviti pengambilan untung dalam kaunter perkhidmatan kewangan di tengah-tengah sentimen berhati-hati di seluruh pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.14 mata atau 0.53 peratus kepada 1,526.16 daripada paras penutup 1,534.30 pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 0.94 mata kepada 1,535.24 dan turun naik antara paras 1,521.93 dan 1,535.41 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 575 berbanding 338, dengan 474 kaunter tidak berubah, 1,008 tidak diniagakan dan 17 digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 2.65 bilion unit bernilai RM1.85 bilion daripada 3.12 bilion unit bernilai RM1.63 bilion pada Isnin.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI meneruskan aliran menurunnya, dipengaruhi oleh aliran keluar dana asing yang berterusan bagi sesi keenam berturut-turut apabila para pelabur terus mengelak risiko di tengah-tengah ketegangan perdagangan global yang berlarutan.
Beliau berkata walaupun awal hari ini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengulas bahawa Amerika Syarikat (AS) mungkin menyemak semula tarif yang dicadangkan ke atas eksport Malaysia kepada tarif dasar yang lebih rendah iaitu 10 peratus, namun perkembangan ini gagal membantu meningkatkan sentimen pasaran.
“Pasaran kekal defensif kerana ketidaktentuan dalam tarif perdagangan terus mengeruhkan prospek.
“Pendekatan berhati-hati ini berterusan meskipun isyarat positif daripada pasaran Eropah dan petunjuk terhad daripada Wall Street, ketika para pelabur menilai keputusan Presiden AS Donald Trump untuk menangguhkan pelaksanaan 50 peratus tarif ke atas barangan Kesatuan Eropah (EU) dari 1 Jun hingga 9 Julai,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, pasaran utama Asia kebanyakannya ditutup lebih rendah apabila para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menunggu perkembangan terkini langkah Trump.
“Peserta pasaran semakin resah dengan dasar tidak menentu Trump dan cadangan lanjutan pemotongan cukai telah menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi AS dan mendorong hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi,” katanya.
“Di pasaran tempatan ekuiti Malaysia kekal menarik, disokong oleh penilaian rendah, pendapatan korporat yang lebih kukuh, dan situasi ekonomi yang bertambah baik,” katanya.
Namun begitu, FBM KLCI dijangka kekal stabil dalam tempoh terdekat ini ekoran sentimen berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin meningkat, kata Thong.
“Kami menjangkakan indeks utama didagangkan dalam jajaran 1,520-1,550 bagi tempoh berbaki minggu ini,” katanya.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut tujuh sen kepada RM9.85, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.38, CIMB jatuh enam sen kepada RM6.90, dan IHH Healthcare merosot satu sen kepada RM6.90, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.
Dalam kalangan kaunter cergas, Permaju turun satu sen kepada dua sen, Sinaran Advance jatuh tujuh sen kepada tiga sen, SFP Tech susut 1.5 sen kepada 20.5 sen, Velesto berkurangan setengah sen kepada 16.5 sen manakala Tanco naik satu sen kepada RM1.01.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 58.63 mata kepada 11,397.06, Indeks FBMT 100 berkurangan 58.34 mata kepada 11,160.37 dan Indeks FBM ACE susut 24.47 mata kepada 4,573.60.
Indeks FBM Emas Shariah turun 35.86 mata kepada 11,354.12 manakala Indeks FBM 70 menyusut 80.05 mata kepada 16,223.31.
Di seluruh sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 122.40 mata kepada 18,048.68, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.30 mata kepada 153.44, Indeks Tenaga susut 7.25 mata kepada 698.66 manakala Indeks Perladangan menambah 41.27 mata kepada 7,376.64.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun sedikit kepada 1.19 bilion unit bernilai RM1.60 bilion daripada 1.23 bilion unit bernilai RM1.34 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.10 bilion unit bernilai RM134.59 juta daripada 1.60 bilion unit bernilai RM198.00 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 351.78 juta saham bernilai RM109.53 juta daripada 278.81 juta saham bernilai RM86.35 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 287.32 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (199.70 juta), pembinaan (180.42 juta), teknologi (126.96 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (81.79 juta), hartanah (124.88 juta) REIT (17.89 juta) dana tertutup (sifar), tenaga (116.49 juta), penjagaan kesihatan (38.17 juta), telekomunikasi dan media (44.55 juta), pengangkutan dan logistik (16.94 juta), utiliti (41.41 juta), dan amanah perniagaan (20,000).
-- BERNAMA