BERITA TERKINI   Kerajaan sedang mengkaji semula pelaksanaan cukai karbon Malaysia disebabkan situasi geopolitik semasa - NRES | PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | 

Akta Berkaitan Syarikat Milik Kerajaan Sedang Digubal, Perkukuh Tadbir Urus Korporat - MOF

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Kerajaan sedang menggubal Akta berkaitan Syarikat Milik Kerajaan (SOE) bagi memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan akauntabiliti dan mengoptimumkan prestasi, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Langkah itu penting bagi meningkatkan pentadbiran kewangan yang lebih terurus serta menjamin potensi pembangunan negara.

“Kerajaan juga komited dalam melaksanakan reformasi institusi yang menyokong agenda pembangunan negara, antaranya melalui penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan yang bertujuan menambah baik proses dan tadbir urus perolehan kerajaan,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin (PN-Pagoh) mengenai usaha Kerajaan MADANI menyelesaikan hutang dan liabliti yang mencecah RM1.34 trilion atau 64 peratus daripada keluaran dalam negara kasar serta langkah kerajaan di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal untuk menstabilkan hutang negara yang semakin meningkat.

Menurut MOF beberapa langkah kawalan sedang dilaksanakan dalam usaha menangani peningkatan paras hutang dan liabiliti seperti meneruskan langkah konsolidasi fiskal, memperluas asas hasil, mengoptimumkan perbelanjaan awam, menetapkan had pendedahan jaminan kewangan dan menyemak semula kaedah pelaksanaan projek secara ‘off-budget’ atau di luar belanjawan.

“Selain itu, inisiatif strategik kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Program Pengaktifan dan Pembaharuan Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) dijangka merangsang aktiviti ekonomi.

“Ini seterusnya mengukuhkan hasil kerajaan dan pada masa sama mengurangkan pergantungan kepada pinjaman,” kata kementerian itu.

-- BERNAMA