BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Susulan Pengukuhan Dolar AS

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Selasa disebabkan oleh pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pengukuhan dolar AS ini menjadikan emas dalam mata wang dolar AS lebih mahal bagi pembeli yang menggunakan mata wang lain.

Katanya, apabila ekuiti kelihatan menarik, dorongan untuk meletakkan tunai dalam aset selamat seperti emas secara semula jadi berkurangan.

“Namun begitu, sebarang penurunan dijangka sederhana. Bank-bank pusat di pasaran membangun secara konsisten membeli emas fizikal dalam jangka masa panjang sebagai sebahagian daripada strategi mereka untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS.

“Permintaan yang stabil dan bersifat struktur ini membantu menyokong harga emas, sekali gus mengehadkan kerugian apabila pelabur jangka pendek menjual,” katanya kepada Bernama.

Kontrak bulan semerta Mei 2025 susut kepada US$3,304.70 setiap auns troy daripada US$3,331.20 setiap auns troy pada Isnin manakala kontrak Jun 2025 melemah kepada US$3,318.00 setiap auns troy daripada US$3,344.70 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak bagi Julai, Ogos dan Oktober 2025 turut berkurangan kepada US$3,331.70 setiap auns troy daripada US$3,358.40 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan menurun kepada tujuh lot berbanding 23 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 51 kontrak daripada 74 kontrak.

Emas fizikal berharga US$3,342.65 setiap auns troy, mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 23 Mei 2025.

-- BERNAMA