BERITA TERKINI   Liga Super: Imigresen FC 0-3 JDT | RUU Pekerja Gig 2025 lulus, bukti komitmen Kerajaan MADANI pastikan pekerja Gig terima perlindungan sosial - TPM Ahmad Zahid | Nilai ambang persetujuan dalam RUU Pembaharuan Semula Bandar akan dipinda selepas ambil kira pandangan pelbagai pihak - Nga | Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 | PM Anwar suarakan kebimbangan terhadap kemerosotan kepercayaan dan persefahaman dalam kalangan pemimpin politik mengenai makna sebenar keadilan dan kemanusiaan | 

Axiata Catat Untung Bersih Suku Pertama Lebih Tinggi Kepada RM159.8 Juta

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Axiata Group Bhd (Axiata) meningkat kepada RM159.8 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2025 (S1 2025) daripada RM60.03 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ia didorong oleh keuntungan dalam tukaran asing, susut nilai dan pelunasan yang lebih rendah dan sumbangan yang lebih tinggi daripada CelcomDigi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axiata melaporkan bahawa perolehan bagi suku tahun dalam tinjauan, bagaimanapun susut kepada RM5.09 bilion daripada RM5.74 bilion berikutan sumbangan lebih rendah daripada syarikat beroperasi di luar negara, terutamanya dipengaruhi oleh terjemahan tukaran asing apabila ringgit mengukuh berbanding matawang operasi.

Dalam kenyataan berasingan, katanya, keuntungan asas lepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami), semua syarikat telekomunikasi kecuali XLSMART menunjukkan pertumbuhan, termasuk CelcomDigi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Vivek Sood berkata walaupun berdepan cabaran pada suku pertama akibat turun naik pasaran dan tekanan makroekonomi, kumpulan itu mengambil langkah tegas untuk meletakkan semula Axiata ke arah objektif portfolio jangka panjang dan sederhananya.

“Kami yakin bahawa rangka kerja strategik kami, tumpuan kepada pengukuhan kesalinghubungan dan perniagaan sambil memperkemas portfolio kami untuk penciptaan nilai serta pengewangan, akan membolehkan kami memanfaatkan peluang pasaran dengan ketara,” katanya.

-- BERNAMA