Hab Logistik Pintar YCH Group Pemangkin Kesalinghubungan Serantau - Tengku Zafrul

SHAH ALAM, 29 Mei (Bernama) -- Supply Chain City Malaysia (SCC MY), kompleks logistik pintar YCH Group bernilai RM500 juta di Bandar Bukit Raja, Klang, dekat sini, dijangka menjadi pemangkin penting dalam kesalinghubungan serantau, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

YCH Group merupakan firma rantaian pengurusan dan logistik yang berpangkalan di Singapura.

Beliau berkata hab yang dijangka siap dalam tempoh dua setengah tahun itu adalah projek pertama di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Malaysia dengan matlamat mempercepat transformasi perindustrian menerusi penyelesaian rantaian bekalan maju dan inovasi logistik.

“Seiring usaha Malaysia mengukuhkan peranan sebagai destinasi pelaburan pilihan ASEAN, sektor logistik berperanan penting dalam memacu pertumbuhan industri serta perdagangan negara

“Pada 2024, Malaysia mencatat pelaburan diluluskan sebanyak RM378.5 bilion, peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pelaburan ini merangkumi 6,700 projek yang dijangka mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.

“Angka itu tidak hanya memaparkan keyakinan pelabur global ke atas Malaysia, tetapi juga kemampuan kita untuk mengemudi ketidaktentuan ekonomi dengan kuat serta tangkas,” katanya pada majlis pecah tanah SCC MY, hari ini.

Tengku Zafrul juga yakin SCC MY menepati wawasan NIMP 2030 dan Rangkaian Logistik Pintar ASEAN (ASLN) dengan memperkukuh kesalinghubungan, kecekapan perdagangan dan mengoptimumkan operasi rantaian bekalan.

Beliau berkata projek itu yang bakal menyepadukan ekosistem LEARN menerusi kerjasama dengan Akademi Rantaian Bekalan dan Logistik Singapura (SCALA), akan turut memastikan bakat tempatan sektor logistik mempunyai kemahiran diperlukan untuk berkembang maju dalam industri yang sentiasa berubah.

Pada masa sama, projek itu menawarkan potensi penerimagunaan penyelesaian logistik pintar yang dapat meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam rantaian bekalan yang seiringan dengan agenda negara untuk menerima ekonomi digital dan memanfaatkan teknologi bagi kemajuan ekonomi.

“Inisiatif ini memaparkan komitmen negara bagi mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyokong transformasi Malaysia sebagai kuasa logistik serantau.

“Selain kemajuan teknologi, projek ini juga dijangka menawarkan peluang pekerjaan mahir dan separa mahir, sekali gus memperkukuh ekosistem Gudang Pintar dan logistik Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menyifatkan projek itu sebagai satu pencapaian penting bagi sektor logistik negara.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen kita dalam dalam menarik pelaburan berimpak tinggi serta memperkukuh ekosistem rantaian bekalan Malaysia melalui inovasi dan automasi,” katanya.

“Insentif galakan cukai Kompleks Logistik Pintar (SLC) juga seiring dengan Deklarasi Kuala Lumpur : ASEAN 2045, menyokong visi bagi mewujudkan rantaian ASEAN yang maju secara digital dan ekonomi yang berdaya tahan,” katanya.

SCC MY yang berteraskan sistem FUSIONARIS YCH dan ekosistem LEARN, juga dijangka menyumbang dari segi penyampaian penyelesaian automasi maju dan berskala yang dapat memacu nilai ekonomi.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata ekosistem LEARN yang dibangunkan bersandarkan lima teras utama - Living Supply Chain, Experiential Workplace Learning, Asia’s Network of Thought Leaders, Reinvent Tomorrow and Nurturing Disruptive Innovators (Rantaian Bekalan Serba Dinamik, Pembelajaran Di Tempat Kerja Menerusi Pengalaman, Jaringan Pemimpin Asia Yang Memberi Impak, Penciptaan Semula Masa Depan dan Pemupukan Inovator Disruptif) juga bertujuan memupuk kemahiran dan kecemerlangan dalam sektor rantaian bekalan.

“Pelaburan jangka panjang ini meletakkan SCC MY sebagai hab inovasi dan pertumbuhan yang sedia untuk masa depan, meningkatkan kesalinghubungan serantau dan menyumbang kepada wawasan ASEAN bagi mewujudkan komuniti ekonomi dengan keterhubungan yang baik,” katanya.

-- BERNAMA