Pasaran Modal Kekal Berdaya Tahan, Terus Memacu Perkembangan Serantau Pada 2025 - SC
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025 dan terus memainkan peranan asas dalam memudah cara pengumpulan modal bagi ekonomi domestik walaupun berdepan persekitaran global yang tidak menentu, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Dalam Laporan Tahunan 2025 yang dikeluarkan hari ini, SC memaklumkan bahawa saiz pasaran modal meningkat kepada RM4.31 trilion pada 2025 berbanding RM4.17 trilion pada 2024, apabila penurunan kecil dalam permodalan pasaran ekuiti telah diimbangi oleh peningkatan jumlah bon dan sukuk belum tebus.
Menurut SC, dalam pasaran ekuiti Malaysia, jumlah permodalan pasaran menurun sedikit kepada RM2.06 trilion daripada RM2.08 trillion pada 2024 manakala permodalan pasaran penanda aras FBMKLCI meningkat kepada RM1.19 trilion daripada RM1.15 trillion pada 2024.
Pasaran turut mencatat prestasi tawaran awam awal (IPO) yang kukuh pada 2025, dengan 60 IPO pada tahun tersebut berbanding 55 pada 2024, menurut SC.
Sementara itu, pasaran bon terus berkembang dengan jumlah bon dan sukuk terkumpul meningkat kepada RM2.25 trilion daripada RM2.10 trilion, disokong terutamanya oleh penebusan bon kerajaan yang lebih rendah serta terbitan bon korporat yang lebih tinggi.
Pasaran derivatif juga menunjukkan prestasi yang mantap pada 2025, mencatatkan jumlah rekod kedua berturut-turut sebanyak 23.30 juta kontrak diniagakan berbanding 22.75 juta pada tahun sebelumnya.
Daya Tahan PLC
Kajian oleh SC mendapati bahawa di sebalik persekitaran perniagaan semakin mencabar, sebahagian besar syarikat awam tersenarai (PLC) kekal pada kedudukan kecairan yang sihat, dengan hampir 80 peratus mencatat nisbah pantas melebihi ambang berhemat 1.0 kali.
Kajian tersebut menilai daya tahan PLC Malaysia yang mempunyai penzahiran signifikan terhadap hasil pasaran Amerika Syarikat (AS) setakat Oktober 2025.(PG32)
Walaupun kadar dolar AS yang lemah berpotensi memberi tekanan kepada penukaran hasil bagi syarikat berorientasikan eksport, tahap keuntungan kekal berdaya tahan, sekali gus mencerminkan keupayaan syarikat untuk mengurus cabaran luaran.
Walaupun terdapat sebahagian syarikat, khususnya PLC bersaiz lebih kecil, yang berdepan peningkatan tekanan dari segi tahap leveraj dan kecairan, majoriti PLC masih mengekalkan prestasi operasi yang stabil.
Keadaan ini mencerminkan disiplin dalam mengawal tahap leveraj serta memperkukuh kedudukan lembaran imbangan.
Semakan Fi Perkhidmatan Pasaran Modal
Sepanjang dekad lepas, ketidakseimbangan pembiayaan semakin ketara, dengan defisit kewangan direkodkan pada kebanyakan tahun.
Pengecualian hanya berlaku pada 2020 dan 2021 apabila volum dagangan yang luar biasa tinggi semasa tempoh COVID-19 meningkatkan hasil secara sementara.
Sejak itu, peningkatan kos, khususnya perkhidmatan profesional, telah melebar jurang antara sumber SC dan tanggungjawabnya.
Justeru, semakan rangka kerja fi adalah langkah proaktif bagi memastikan SC terus menegakkan mandat dwinya dalam memupuk pasaran yang adil dan teratur demi manfaat semua pihak berkepentingan.
Sepanjang tempoh ini, SC telah menyokong pasaran modal melalui subsidi, yang dibiayai terutamanya daripada levi dagangan ekuiti bagi membiayai operasinya.
Seiring dengan pertumbuhan ketara pasaran modal Malaysia dari segi keluasan dan kedalaman, tahap kerumitannya juga semakin meningkat.
Dengan memperakui evolusi ini, SC berpendapat bahawa pasaran kini bersedia untuk beralih daripada model harga berasaskan subsidi kepada struktur harga yang dipandu oleh prinsip kadar sepadan serta pendekatan kos-tambah bagi memastikan keadilan dan kemampanan jangka panjang.
Berkuat kuasa 1 Jan 2026, SC telah melaksanakan peraturan fi yang disemak semula.
Bagi memudahkan peralihan, pihak berkepentingan pasaran modal turut diberikan pengurangan fi tahunan berubah sebanyak 50 peratus, serta pengurangan konsesi 20 peratus ke atas produk, aktiviti pengumpulan dana dan fi lain yang berkaitan dengan produk.
Konsesi ini bertujuan mengurangkan kesan semakan fi tersebut serta memudahkan peralihan yang teratur kepada rangka kerja fi yang disemak semula.
Prospek Malaysia 2026
Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada 2026, disokong oleh permintaan domestik yang mampan, khususnya penggunaan swasta dan pelaburan yang dipacu oleh keutamaan pembangunan negara seperti Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Bagaimanapun, risiko terhadap permintaan luaran masih wujud berikutan ketidakpastian perdagangan global serta ketiadaan momentum eksport yang kukuh seperti direkodkan sebelum ini.
Dalam pasaran modal domestik, prestasi dijangka mendapat sokongan daripada pelonggaran dasar monetari global, yang berpotensi meningkatkan aliran portfolio asing ke pasaran pesat membangun seperti Malaysia.
Selain itu, kemajuan teknologi dan peningkatan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dijangka merangsang aktiviti pasaran pada peringkat serantau.
Menurut SC, penerbitan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP) pada 2026 akan menandakan penyelarasan semula yang penting bagi pasaran modal Malaysia.
Berteraskan tonggak pertumbuhan, keterangkuman, daya tahan dan peluang serantau, CMP turut memanfaatkan pasaran modal Islam sebagai pembeza serta kecemerlangan kawal selia dan tadbir urus sebagai asasnya.
Keutamaan juga akan diberikan kepada pelaksanaan langkah-langkah untuk meningkatkan nilai cadangan jangka panjang syarikat awam tersenarai Malaysia, khususnya yang berprestasi tinggi dan kurang berprestasi.
-- BERNAMA