BERITA TERKINI   MAA optimis jualan EV akan meningkat pada separuh kedua 2025, didorong oleh pelancaran model baharu terutamanya pada suku keempat | 

Pelaburan Teknologi Baharu Pacu Transformasi KPMC Ke Arah Hospital Digital

Oleh Mohd Noor Azeery Idris

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan kesihatan swasta tempatan Kajang Plaza Medical Centre (KPMC) sedang aktif melabur dalam teknologi perubatan terkini sebagai sebahagian daripada strategi transformasi digital untuk menjadi hospital yang lebih mesra pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif KPMC Datuk Saroni Judi berkata pelaburan dalam teknologi seperti Sistem Maklumat Hospital (HIS), sistem kios digital dan aplikasi mudah alih telah membawa lonjakan yang ketara dalam pengalaman pelanggan serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manusia.

Beliau berkata usaha itu penting bagi memenuhi keperluan masa depan KPMC tanpa perlu menambah premis atau tenaga kerja.

"Ia (pelaburan) boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, teknologi yang berkait secara langsung dengan rawatan penyakit seperti peralatan perubatan moden.

"Kedua, teknologi yang lebih kepada aspek kemahiran insani iaitu kemudahan yang membantu pesakit berinteraksi dengan hospital, contohnya memudahkan urusan pendaftaran, mengurangkan masa menunggu, dan meningkatkan keseluruhan pengalaman pesakit," katanya dalam program ‘Bual Bisnes’ Bernama TV yang disiarkan pada Sabtu.

Menurut Saroni pada masa ini pesakit di KPMC boleh membuat tempahan temu janji dengan doktor secara terus melalui aplikasi yang berintegrasi dengan sistem HIS sekali gus memudahkan proses tempahan janji temu.

Beliau berkata sistem HIS juga membolehkan pesakit mendaftar masuk menggunakan MyKad di kios digital QueueMed Healthtech (QMED) serta menunggu giliran secara sistematik.

"Sistem berkenaan bukan sahaja mempercepat proses rawatan malah memberikan keselesaan maksimum kepada pesakit," katanya.

Beliau berkata pendekatan digital itu selari dengan usaha KPMC untuk menjadi butik hospital, sebagai konsep baharu yang menekankan keselesaan serta keperluan holistik pesakit dan ahli keluarga.

“Teknologi robotik dalam sektor perubatan kini sangat maju. Baru-baru ini, saya berkunjung ke China dan menyaksikan bagaimana teknologi robotik di sana jauh melampaui apa yang saya fahami mengenai robotik di Malaysia.

“Mereka sudah sangat canggih dengan kolaborasi antara robot dan sistem automasi seperti pintu lif, pintu bilik serta penghantaran makanan dan ubat yang dilakukan tanpa memerlukan tenaga kerja manusia," katanya.

Beliau berkata teknologi terkini turut membolehkan doktor melakukan pembedahan walaupun tidak berada di dewan bedah, dengan hanya dibantu oleh pembantu doktor.

Justeru katanya KPMC komited untuk mempercepat transformasi digital bagi memastikan pusat perubatan itu terus maju sejajar dengan masa depan perkhidmatan kesihatan yang semakin bergantung kepada platform digital dan maya.

Bagaimanapun Saroni berkata KPMC terus menjadi institusi yang mengutamakan empati dan kepekaan terhadap pelanggan serta kerjasama erat dengan komuniti sebagai tunjang utama dalam membentuk hospital moden berwawasan dan berorientasikan masa hadapan.

-- BERNAMA