BERITA TERKINI   Malaysia dan Australia sokong seruan Paus Leo untuk keamanan serta gesa diadakan dialog bagi menamatkan konflik global | Malaysia, Australia setuju perkukuh kerjasama teknikal antara Petronas dan pihak berkaitan Australia bagi pastikan kestabilan bekalan tenaga - PM Anwar | Malaysia kekal teguh pendirian terhadap Palestin, hargai sokongan Australia terhadap bantuan kemanusiaan serta usaha penyelesaian secara aman - PM Anwar | Bank Rakyat umum bayar dividen 18 peratus berjumlah RM534.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 | Golden Destinations yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, dibuka pada 49 sen iaitu premium empat sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) dengan 15 juta saham diniagakan  | 

Niaga Hadapan MSM Melantun Selepas Permintaan Kukuh Dari India

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi hari ini, melantun selepas rugi pada Jumaat sebelum ini berikutan permintaan yang lebih kukuh dari India, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Rancangan India untuk mengurangkan duti import ke atas minyak sawit bagi menurunkan kos import di tengah-tengah peningkatan permintaan untuk minyak sayuran, dijangka melonjakkan permintaan untuk minyak sawit Malaysia secara menyeluruh.

"Harga minyak mentah yang lebih tinggi juga dilihat menyokong sentimen di pasaran. Kami melihat sokongan harga pada RM3,830 satu tan dan rintangan pada RM4,000 satu tan," katanya kepada Bernama. 

India pada Jumaat lepas telah mengurangkan duti import asas MSM kepada 10 peratus daripada 20 peratus.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani berkata eksport minyak sawit Malaysia untuk Mei juga dianggarkan lebih tinggi dengan Intertek Testing Services (ITS) menganggarkannya pada 1.32 juta tan, naik 17.86 peratus, manakala Amspec unjur pada 1.12 juta juta tan, menokok 13.21 peratus berbanding anggaran untuk April lepas.

"Pasaran kini sedang menunggu jangkaan pengeluaran minyak sawit Malaysia untuk Mei dari Persatuan Minyak Sawit Malaysia, UOB Kay Hian dan Persatuan Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA).

"Ia adalah masa untuk tinjauan permintaan dan bekalan dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia bagi Mei, ianya akan tertumpu pada anggaran pengeluaran, eksport dan inventori," katanya.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa berkata pemotongan dalam duti import India serta keyakinan permintaan telah memacu pembelian niaga hadapan MSM pada hari Selasa, mengangkat kontrak bulan aktif sebanyak RM56, memulihkan semua kerugian berbanding penutupan semasa Jumaat lepas.

"Pasaran minyak sawit menghadapi rintangan yang kukuh dalam tahap ujian RM4,000 satu tan berikutan peningkatan pengeluaran bermusim," katanya.

Pada penutup, kontrak Jun 2025 menambah RM50 kepada RM3,938 satu tan, Julai 2025 meningkat sebanyak RM56 kepada RM3,947 satu tan, Ogos 2025 naik RM56 kepada RM3,934 satu tan, September 2025 mengukuh RM52 kepada RM3,922 satu tan, Oktober 2025 menokok RM45 kepada RM3,915 satu tan dan November 2025 menambah RM41 kepada RM3,915 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 103,618 lot berbanding 59,698 lot yang dicatatkan semasa Jumaat sebelum ini, manakala kepentingan terbuka naik kepada 336,143 kontrak daripada 241,994 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk Jun Selatan meningkat sebanyak RM50 kepada RM3,980 satu tan.

-- BERNAMA