BERITA TERKINI   IMF unjur pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.7 peratus tahun ini dan 4.3 peratus tahun depan | Inflasi keseluruhan global diunjur meningkat kepada 4.4 peratus tahun ini, dan turun kepada 3.7 peratus pada 2027, merupakan semakan naik bagi kedua-dua tahun itu - IMF | IMF unjur pertumbuhan global pada 3.1 peratus tahun ini berbanding 3.4 pperatus tahun lepas, semakan turun 0.2 mata peratusan daripada unjuran pada Januari | Pemulihan aset 1MDB cecah RM31.2 bilion setakat ini, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan aset yang telah dikenal pasti - SPRM | 1MDB: Empat karya seni bernilai USD198,125 telah dibawa pulang ke Malaysia - SPRM  | 

Johor Port Labur RM72.3 Juta Dalam Kren Baharu

JOHOR BAHRU, 5 Jun (Bernama) -- Johor Port Bhd (Johor Port) telah memuktamadkan pembelian empat kren jenis level luffing bernilai RM72.3 juta dengan pembekal Sany Marine Heavy Industry Co Ltd.

Menurut Johor Port dalam kenyataan hari ini, pembelian itu sebahagian daripada pelan menambah baik perbelanjaan modal bernilai RM1 bilion untuk memodenkan kemudahan pelabuhannya dan menyokong pertumbuhan masa depan.

“Kren baharu dengan prestasi yang dipertingkatkan, capaian dan daya tahan yang lebih baik akan meningkatkan produktiviti dermaga, mengurangkan masa pusing balik kapal dan memberikan pengalaman pengendalian kargo yang lebih lancar dan cekap,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Md Derick Basir dan Pengurus Besar Jualan Luar Negara Sany Marine Tony Tang ialah wakil yang memeterai pada majlis menandatangani perjanjian semalam.

Md Derick berkata: “Pelaburan ini merupakan bukti jelas kepada komitmen kami untuk memenuhi jangkaan yang meningkat daripada pelbagai kumpulan pelanggan kami.

“Kami memberi tumpuan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi serta mengukuhkan kedudukan kami sebagai pelabuhan pilihan di wilayah selatan,” katanya.

Johor Port terletak di kawasan seluas 1,000 ekar dan 660 ekar daripadanya menjadi zon perdagangan bebas. Ia merupakan sebahagian daripada kumpulan utiliti dan infrastruktur MMC Corporation Bhd. 

-- BERNAMA