MSM Ditutup Bawah RM4,500 Setan Berikutan Kejatuhan Harga Minyak Mentah
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas terjejas oleh kejatuhan dalam harga minyak mentah, kata seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata niaga hadapan MSM susut di bawah paras RM4,500 setan selepas harga minyak mentah melemah ke bawah US$100 setong.
“Harga minyak mentah yang lebih rendah telah menjejaskan harga minyak sawit memandangkan komoditi itu digunakan secara meluas sebagai bahan mentah biobahan api,” katanya kepada Bernama.
Minyak mentah Brent menyaksikan kejatuhan sebanyak 1.57 peratus kepada US$97.80 setong.
Ng menambah, sentimen pasaran turut menerima impak susulan harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago yang tidak memberangsangkan.
“Kami mengesan sokongan pada paras RM4,400 setan dan rintangan pada RM4,550 setan,” katanya.
Pada penutupan, kontrak April dan Mei 2026 berkurangan sebanyak RM91 setiap satu kepada RM4,359 serta RM4,420 setan, manakala Jun 2026 merosot RM89 kepada RM4,466 setan.
Kontrak Julai 2026 menyaksikan kerugian sebanyak RM81 kepada RM4,491 setan, Ogos 2026 turun RM77 kepada RM4,489 setan dan September 2026 kehilangan RM70 kepada RM4,479 setan.
Jumlah dagangan melonjak kepada 107,900 lot berbanding 66,741 lot yang dicatatkan semalam, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 264,587 kontrak daripada 256,371.
Harga MSM fizikal untuk April Selatan jatuh RM120 kepada RM4,460 setan.
-- BERNAMA