Bursa Malaysia Ditutup Sedikit Rendah Menjejaki Prestasi Pasaran Serantau

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri minggu dagangan ini dengan ditutup sedikit rendah, menjejaki prestasi negatif yang dapat disaksikan di pasaran serantau, terutamanya dalam kalangan pasaran baru muncul, menurut seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.08 peratus, atau 1.33 mata kepada 1,516.79 daripada 1,518.12 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka pada 1,516.91, susut 1.21 mata dan bergerak antara 1,513.39 dan 1,518.71 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 478 berbanding 325, dengan 529 kaunter tidak berubah, 1,014 tidak diniagakan dan 20 digantung.

Jumlah dagangan menurun kepada 1.92 bilion unit bernilai RM1.66 bilion daripada 2.42 bilion unit bernilai RM2.27 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa indeks utama serantau ditutup bercampur-campur kerana pelabur mengekalkan sikap berhati-hati, menunggu isyarat lanjut mengenai rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan pemain serantau utama, terutamanya China.

Selain itu, beliau berkata prestasi lemah semalaman di Wall Street turut menjejaskan sentimen pasaran di seluruh dunia.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI mencatat penurunan kecil, walaupun terdapat lantunan teknikal yang ketara pada Khamis, yang membantu mengurangkan kejatuhan yang lebih besar.

Beliau berkata kenaikan tertumpu terutamanya pada beberapa konstituen indeks terpilih, disokong oleh pemulihan teknikal jangka pendek dan optimisme baharu berkaitan pusat data.

Bagaimanapun, pelabur asing terus mengurangkan pegangan mereka dalam ekuiti Malaysia, menandakan jualan bersih minggu ketiga berturut-turut.

Dalam pada itu, walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggambarkan perbualan telefon beliau dengan Presiden Xi Jinping sebagai “sangat baik”, tetapi kenyataan itu gagal meningkatkan sentimen secara ketara.

Bagi pasaran Asia, ia ditutup bercampur-campur dengan indeks utama China berada dalam keadaan negatif, meningkatkan kewaspadaan pelabur yang berterusan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi yang tidak dapat diselesaikan.

Sementara itu, sentimen risiko di Wall Street turut terjejas seketika akibat perselisihan umum antara Trump dan usahawan Elon Musk, yang berpunca daripada ancaman untuk membatalkan kontrak kerajaan dengan syarikat-syarikat milik Musk.

“Pada tahap ini, kami melihat isu itu sebagai terpencil, dengan kesan yang terhad kepada sektor-sektor teknologi yang lebih luas di pasaran AS dan Malaysia,” kata Mohd Sedek.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals susut 11 sen kepada RM3.25, Press Metal Aluminium merosot 7 sen kepada RM4.96, 99 Speed Mart Retail jatuh 2 sen kepada RM2.09, RHB Bank menurun 5 sen kepada RM6.35 dan Petronas Dagangan menyusut 14 sen kepada RM21.00.

Bagi saham aktif, MYE naik 1.5 sen kepada 94.5 sen, Tanco dan Gamuda masing-masing meningkat 3.0 sen kepada RM1.03 dan RM4.77, KPJ turun 3.0 sen kepada RM2.75, manakala Signature Alliance Group naik 1.0 sen kepada 71 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 7.49 mata kepada 11,355.34, Indeks FBMT 100 turun 4.67 mata kepada 11,123.69 manakala Indeks FBM ACE meningkat 1.18 mata kepada 4,519.32.

Indeks FBM Emas Shariah susut 11.52 mata kepada 11,329.22, manakala Indeks FBM 70 naik 13.26 mata kepada 16,296.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 31.26 mata kepada 17,708.31, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.32 mata kepada 150.80, Indeks Tenaga bagaimanapun meningkat 9.84 mata kepada 718.45 dan Indeks Perladangan menokok 33.47 mata kepada 7,252.85.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 964.07 juta unit bernilai RM1.46 bilion berbanding 1.16 bilion unit bernilai RM2.00 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran turut merosot kepada 706.23 juta unit bernilai RM98.53 juta daripada 898.22 juta unit bernilai RM114.39 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menurun kepada 249.20 juta unit bernilai RM105.00 juta daripada 361.18 juta unit bernilai RM153.86 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 123.80 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (164.82 juta), pembinaan (86.55 juta), teknologi (154.08 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (54.91 juta), hartanah (133.50 juta), perladangan (8.96 juta), REIT (14.57 juta), dana tertutup (4,000), tenaga (79.64 juta), penjagaan kesihatan (48.05 juta), telekomunikasi dan media (39.11 juta), pengangkutan dan logistik (17.48 juta), utiliti (38.55 juta) dan amanah perniagaan (1,000).

-- BERNAMA