BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Penangguhan Sistem E-invois Beri Masa Peniaga Sesuaikan Diri - Lim

GEORGE TOWN, 8 Jun (Bernama) -- Penangguhan pelaksanaan sistem e-Invois dibuat selepas kerajaan mendengar keluhan peniaga khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata dengan penangguhan tersebut kerajaan berharap syarikat mempunyai masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem e-Invois yang disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu. 

Pada 5 Jun lepas, LHDN menerusi satu kenyataan memaklumkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM500,000 dikecualikan daripada pelaksanaan sistem e-Invois buat masa ini manakala pelaksanaan e-Invois bagi pembayar cukai berpendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta ditangguhkan kepada 1 Jan, 2026, dan kumpulan berpendapatan sehingga RM1 juta akan bermula pada 1 Julai 2026.

“Sebenarnya yang kita rancang (pelaksanaan sistem e-Invois) bermula 1 Julai depan adalah untuk syarikat yang mempunyai jualan tahunan RM500,000 ke atas, namun kita memang memahami kebimbangan mereka terutama PMKS dan mengubah ia kepada tiga fasa lagi. 

“Kerajaan MADANI prihatin terhadap keluhan peniaga kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Tandas Pintar di Pasar Awam Lebuh Cecil, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Lim berkata fasa ketiga pelaksanaan sistem e-Invois yang akan bermula 1 Julai ini melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM5 juta hingga RM25 juta.

Mengenai kontrak penggajian antara majikan dan pekerja yang wajib disetemkan mulai 1 Jan, 2026, beliau berkata LHDN tidak membuat penguatkuasaan mengenai perkara tersebut sebelum ini.

“Jadi LHDN dengan Kementerian Kewangan telah membuat pertimbangan dan mengambil keputusan iaitu sebarang kontrak penggajian antara majikan dan pekerja sebelum 1 Januari 2025 dikecualikan, tetapi apa-apa kontrak penggajian yang bermula pada 1 Januari 2026 diwajibkan untuk membayar duti setem,” katanya.

Beliau juga berharap agar syarikat dapat mematuhi semua ciri-ciri yang ditetapkan dalam Akta Setem 1949 khususnya pematuhan terhadap keperluan penyeteman.

-- BERNAMA