Energy Asia 2025 Dijangka Tarik Lebih 4,000 Delegasi Global
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Energy Asia 2025 dijangka menarik lebih 4,000 delegasi antarabangsa apabila ia kembali untuk edisi keduanya dari 16 hingga 18 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Bertemakan 'Delivering Asia’s Energy Transition', persidangan kali ini akan menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri dan ahli profesional dalam bidang tenaga untuk meneroka penyelesaian praktikal yang mengimbangi keperluan mendesak bagi mempercepatkan tindakan iklim dengan keperluan untuk menjaga daya tahan ekonomi.
Dianjurkan oleh Petronas, dengan kerjasama CERAWeek oleh S&P Global sebagai rakan kongsi pengetahuan, persidangan ini akan menampilkan lebih daripada 180 penceramah yang diiktiraf di peringkat global dan disokong oleh 52 penaja korporat, yang menunjukkan sokongan meluas industri terhadap peralihan tenaga yang adil dan teratur.
Dalam satu kenyataan, penganjur berkata beberapa tokoh ternama yang dijadualkan hadir termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) Haitham Al Ghais, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco Amin Nasser, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik dan Presiden Institut Penyelidikan Ekonomi & Teknologi CNPC Dr Lu Ruquan.
Turut serta dalam persidangan ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Woodside Energy Meg O'Neill, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies Patrick Pouyanné, Pengerusi Eneos Xplora Toshiya Nakahara, Prinsipal Pasukan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-AMG Petronas F1 Team Toto Wolff dan Ketua Pegawai Eksekutif Shell Wael Sawan.
Pengurus Besar Kanan Petronas bagi Tenaga Asia serta Strategi, Perancangan dan Tadbir Urus Arni Laily Anwarrudin berkata penganjuran kali ini bertujuan untuk mewujudkan platform terkemuka di rantau ini bagi kepimpinan pemikiran mengenai peralihan tenaga.
"Melalui Energy Asia, cita-cita kami adalah untuk mewujudkan platform terunggul di rantau ini bagi kepimpinan intelektual dalam peralihan tenaga, sebuah ruang yang bukan sekadar mempamerkan idea-idea berani dan inovasi, tetapi turut memacu tindakan bermakna yang boleh dilihat hasilnya.
"Kami juga berhasrat untuk merapatkan jurang antara ekonomi sedang pesat membangun dan maju dengan memupuk kerjasama merentas sektor dan sempadan. Hanya melalui dialog inklusif dan saksama kita boleh membuka potensi penuh landskap tenaga Asia yang pelbagai serta memastikan tiada sesiapa pun yang ketinggalan," kata beliau.
Persidangan kali ini memperkenalkan forum baharu iaitu Forum Eksekutif Kepimpinan Energy Asia Global, sesi tertutup khusus untuk pemimpin peringkat C-suite daripada sektor tenaga, kewangan, teknologi dan perkhidmatan profesional. Forum ini bertujuan menyelaraskan strategi pelaburan dan meningkatkan penggunaan teknologi.
Dua inisiatif tambahan akan membuat kemunculan sulung mereka: Anugerah Energy Asia yang mengiktiraf kepimpinan dalam peralihan tenaga, dan Pemimpin Tenaga Masa Depan, yang mengetengahkan bakat baharu muncul merentas rantau ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan dan menyampaikan ucaptama pada persidangan kali ini.
Maklumat lanjut boleh didapati di www.officialenergyasia.com/delegate.
-- BERNAMA