BERITA TERKINI   Keselamatan tenaga bukan lagi satu pilihan. Ia menjadi keutamaan strategik negara susulan situasi di Selat Hormuz - Fadillah Yusof | 

Salihin Group Jalin Kerjasama Strategik Untuk Teroka Pasaran Sarawak

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Salihin Group telah menjalin kerjasama dengan Danawa Resources Sdn Bhd, Rahman Rohaida Advocates and Solicitors dan Neurogine Sdn Bhd untuk menembusi pasaran Sarawak, pada masa sama menggunakannya sebagai batu loncatan untuk pengembangan serantau dan global yang lebih luas.

Menurut Salihin Group, ia telah bekerjasama dengan Danawa Resources untuk membangunkan penyelesaian generasi kelima untuk infrastruktur luar bandar dan penerbangan, menyokong matlamat keterangkuman digital Sarawak dan memacu pelaksanaan inisiatif itu secara terselaras.

“Kerjasama dengan Neurogine akan memberi tumpuan kepada pembangunan saluran perniagaan yang mampan dalam perbankan digital, perkhidmatan kewangan dan pembayaran, disokong oleh pendekatan kemasukan pasaran berfasa bermula di Sarawak dan berkembang di seluruh Malaysia dan rantau Timur Tengah dan Afrika Utara,” menurut kenyataan itu hari ini.

Bagi kerjasama dengan Rahman Rohaida Advocates and Solicitors, kolaborasi itu akan memberi tumpuan kepada tadbir urus, pematuhan, alam sekitar, sosial dan tadbir urus, khidmat nasihat dan bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama.

Sementara itu, kumpulan tersebut telah menganjurkan sesi libat urus hari ini di Pusat Konvensyen KLGCC, bermula dengan Forum Digital Salihin 2026 pada sebelah pagi. Program diteruskan dengan majlis Syawal @ Salihin 2026 yang turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) strategik pada sebelah petang.

Program gabungan itu mencerminkan komitmen berterusan Salihin terhadap kepimpinan berfikir, kerjasama strategik dan libat urus industri yang bermakna, program gabungan itu mencerminkan komitmen berterusan Salihin terhadap kepimpinan pemikiran, kerjasama strategik dan penglibatan industri yang bermakna, menurut kenyataan itu,

Forum Digital Salihin menghimpunkan tetamu jemputan, pemimpin industri dan rakan strategik bagi sesi yang memfokuskan kepada masa depan tadbir urus, kecerdasan buatan, keselamatan siber serta kemampanan.

Dalam pada itu, forum tersebut menampilkan sumbangan daripada Diligent, Nexagate, YASH Technologies, IBM Malaysia dan SALIHIN Digital, menawarkan perspektif praktikal mengenai bagaimana organisasi dapat memperkukuh pengawasan, daya tahan serta kesediaan digital dalam persekitaran operasi yang semakin kompleks.

Program itu diteruskan dengan sambutan Syawal yang meraikan para pelanggan, rakan niaga, pemegang taruh dan tetamu kehormat, selain majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) strategik, sambutan berkenaan turut menyediakan platform penting untuk memupuk libat urus serta memperkukuh hubungan profesional antara semua pihak terlibat.

-- BERNAMA