BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Fitch Ratings Semak Unjuran Kedaulatan Global 2025

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Fitch Ratings menyemak unjuran kedaulatan global 2025 kepada “merosot” daripada “neutral” bagi mencerminkan peningkatan tarif perdagangan dan ketidaktentuan dasar.

Dalam kenyataan pada Rabu, agensi penarafan kredit itu menjelaskan situasi tersebut akan melemahkan prospek pertumbuhan global dan meningkatkan risiko terhadap keadaan pembiayaan yang lebih mencabar, dengan risiko kewangan awam dan politik kekal tinggi.

“Peningkatan perang perdagangan global serta ketidaktentuan mengenai peringkat akhir tarif dan kesannya terhadap jumlah dagangan global, rantaian bekalan, pelaburan, dan hubungan antarabangsa, merupakan kejutan ekonomi global yang buruk dan ketara,” menurutnya.

“Ketidaktentuan mengenai sejauh mana dan tempoh kesannya terhadap harga dan aktiviti turut menambah ketidakpastian hala tuju kadar dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan risiko turun naik ketara keadaan pembiayaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Fitch Ratings penyusutan harga minyak mentah Brent kepada US$65 setong pada 2025 daripada US$79.5 pada 2024 akan meningkatkan tekanan ekonomi dan fiskal ke atas pengeksport utama, manakala pengurangan bantuan antarabangsa oleh AS menambah risiko yang dihadapi sebilangan pasaran yang sedang pesat membangun.

Sebaliknya, penyusutan nilai dolar AS mengurangkan beban pasaran sedang pesat membangun yang mempunyai hutang dalam denominasi dolar AS serta memberikan ruang kepada sesetengah bank pusat di pasaran itu untuk menurunkan kadar faedah lebih cepat, tambahnya.

Fitch Ratings memaklumkan kewangan awam akan terus mengalami tekanan tahun ini disebabkan peningkatan perbelanjaan pertahanan, kos faedah, trend demografi, pertumbuhan yang lemah dan tekanan sosial, terutamanya di pasaran maju.

“Kami menjangkakan hutang median kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan meningkat sedikit kepada 54.5 peratus pada akhir 2025 daripada 54.1 peratus pada akhir 2024.

“Risiko geopolitik kekal tinggi berikutan peperangan di Ukraine dan Timur Tengah, persaingan strategik AS-China, ketegangan perdagangan, ketidakpuasan hati dari segi sosial, dan ketidaktentuan dasar luar AS,” tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA