BERITA TERKINI   Kerajaan setuju bayar RM200 sehektar sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | Cuaca panas: TUDM, Bomba diarah tingkat aktiviti pembenihan awan di utara Semenanjung bagi atasi kesukaran dihadapi petani - PM Anwar | 

Prospek Pembuatan Malaysia Bagi Jangka Pendek Kekal Kukuh - Kenanga Investment

KUALA LUMPUR, 4 Mei  (Bernama) -- Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia yang meningkat kepada 51.6 pada April 2026, memberi isyarat prospek jangka pendek yang kukuh didorong terutamanya oleh stok simpanan untuk langkah berjaga-jaga dan bukannya permintaan akhir yang kuat.

Kenanga Investment Bank Bhd bagaimanapun memaklumkan, kos logistik, tenaga dan bahan mentah yang kekal tinggi, di samping kelewatan penghantaran yang semakin meruncing, akan terus menjadi cabaran utama.

Selain itu kesan pusingan kedua daripada ketegangan yang berpanjangan di Asia Barat akan muncul dan berisiko menjejaskan keadaan.

Dalam nota penyelidikannya berhubung PMI Pembuatan Malaysia (April 2026), ia menyatakan PMI pembuatan berkembang kepada 51.6 pada April daripada 50.7 pada Mac, iaitu rekod tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Sementara itu, mengenai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bank pelaburan tersebut memaklumkan pertumbuhan dijangka kekal kukuh pada separuh pertama 2026 dan setakat ini ia mengekalkan unjuran pertumbuhan 2026 pada kadar 4.5 peratus.

Menurutnya, angka itu akan disokong oleh permintaan yang dipacu oleh musim perayaan, permintaan domestik yang berdaya tahan dan aktiviti penyimpanan stok.

“Bagaimanapun, risiko penurunan semakin meningkat pada separuh kedua 2026 berikutan tekanan kos dan gangguan rantaian bekalan yang semakin meruncing. Kami menjangkakan daya tahan domestik akan dapat mengurangkan impak itu,” tambah bank pelaburan berkenaan.

-- BERNAMA