BERITA TERKINI   Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya, Selangor pagi tadi telah pulih sepenuhnya - TNB | Untung bersih MISC Bhd suku kedua tahun kewangan 2025 susut 14.1 peratus tahun ke tahun kepada RM464.4 juta susulan hasil lebih rendah sebanyak RM2.72 bilion | Harga jualan purata lebih rendah beri kesan kepada hasil Petronas Dagangan Bhd, yang susut kepada RM9.07 bilion suku kedua 2025 daripada RM9.84 bilion suku kedua 2024 | Untung bersih Petronas Dagangan susut kepada RM265.53 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 daripada RM276.39 juta tahun sebelumnya berikutan untung kasar lebih rendah, diimbangi  perbelanjaan rendah | Hutang keseluruhan bertambah kerana beban faedah hutang lama yang diwarisi, bukan kerana pinjaman baharu, rekod jelas menunjukkan hutang baharu berkurang - PM Anwar | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Seiring Dengan Pasaran Tunai Dalam Ketidaktentuan Geopolitik, Tarif

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mencerminkan prestasi kadar asas pasaran tunai berikutan ketidaktentuan pasaran global yang berterusan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa sentimen menghindari risiko pada masa ini didorong oleh serangan Israel ke atas Iran dan ketegangan yang meningkat di Timur Tengah dijangka memberi tekanan kepada pasaran minggu depan.

Ketua Penyelidikan AmInvestment Bank Bhd Paul Yap Ee Xing berkata pengumuman Washington mengenai tarif unilateral menambah kepada ketidaktentuan perdagangan global sedia ada dan menggalakkan pendekatan menghindari risiko dalam kalangan pelabur.

“Walaupun pasaran serantau menunjukkan trend bercampur-campur, Bursa Malaysia berpotensi mencatatkan pergerakan berbeza bergantung pada perkembangan tempatan.

“Walaupun tanpa pemangkin domestik yang jelas, pelabur dijangka kekal berwaspada dan menunggu sehingga situasi menjadi lebih jelas,” katanya kepada Bernama.

Yap berkata faktor luaran seperti data inflasi Amerika Syarikat dan ketegangan yang berterusan di Timur Tengah memainkan peranan penting dalam membentuk pola pasaran dengan mempengaruhi aliran modal risiko global.

Pada masa depan, hala tuju pasaran akan banyak bergantung pada perkembangan rundingan perdagangan dan sama ada ketegangan antara Iran dan Israel semakin meningkat, kedua-duanya berpotensi memberi impak besar kepada sentimen pelabur dan prestasi sektor tertentu.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak Jun 2025 naik 5.5 mata kepada 1,512.0, Julai 2025 meningkat 6.0 mata kepada 1,510.5, September 2025 menambah 4.5 mata kepada 1,492.0 dan Disember 2025 menokok tiga mata kepada 1,497.5.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 22,132 lot daripada 23,669 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 40,297 kontrak daripada 37,381 kontrak sebelum ini.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks barometer meningkat 1.32 mata kepada 1,518.11 daripada 1,516.79 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA