Valet Technology Sasar Penyenaraian Di Pasaran ACE Pada Suku Pertama 2026
Oleh Nurul Hanis Izmir
PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Valet Technology Sdn Bhd menyasarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada suku pertama 2026 sejajar dengan langkah syarikat memperluas perniagaannya dalam penyelesaian keselamatan siber dan identiti.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Puan Sri Rayana Abdul Rahman berkata cadangan penyenaraian itu akan menyokong matlamat syarikat untuk berkembang di luar Malaysia dan mengukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunannya (R&D).
“Kami berada di landasan yang tepat untuk penyenaraian IPO pada awal tahun depan. Walaupun modal menjadi antara sebabnya, langkah ini bertujuan meletakkan asas yang lebih kukuh untuk keselamatan identiti dan rangka kerja R&D kami,” katanya kepada Bernama.
Ditubuhkan pada 1995 sebagai penyedia perkhidmatan keselamatan tradisional, Valet Technology telah berkembang menjadi pemain teknologi tempatan dengan 200 tenaga kerja dan rangkaian lebih 1,000 penyepadu sistem (SI) di seluruh negara.
Rayana berkata syarikat bermula dengan keselamatan konvensional tetapi melihat potensi untuk berkembang bersama-sama usahawan yang lebih kecil.
Hari ini, SI syarikat membawa produk ke seluruh negara serta Valet Technology menyokongnya dengan latihan dan peralatan.
Beliau berkata pada masa ini, syarikat menyokong pelanggan utama kerajaan, termasuk Jabatan Imigresen dan pelbagai kementerian — Pengangkutan, Dalam Negeri, Pendidikan Tinggi dan Kesihatan — sebahagian besarnya melalui rakan kongsi SI.
Valet Technology, melalui SI, membekalkan kira-kira 200 palang automatik di Kompleks CIQ dan Tuas (laluan kedua) untuk pejalan kaki dan pengangkutan awam.
“Kami membantu SI kami sepanjang proses tender dan menyokong mereka dengan kepakaran teknikal dan pengetahuan mengenai produk,” katanya, sambil menambah pendapatan syarikat kini berjumlah kira-kira RM25 juta, dengan jangkaan prestasi yang lebih kukuh selepas penyenaraian IPO.
Kepelbagaian kepada Keselamatan Siber
Terkenal dengan motor pintu gelangsar Siri VT, Valet Technology telah berkembang kepada keselamatan digital dan siber, langkah yang termasuk memperkenalkan Valet Shield, sistem pengesanan panggilan mencurigakan dijana AI yang dibangunkan dengan rakannya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Syarikat kini menjalin kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Teknologi Oman serta syarikat telekomunikasi negara itu, Omantel di bawah ITHCA Group, untuk melaksanakan teknologi tersebut di Timur Tengah.
“Valet Shield dibina berasaskan pembelajaran mesin dan bergantung pada maklum balas daripada syarikat telekomunikasi untuk meningkatkan pencegahan panggilan mencurigakan. Oman menawarkan kedudukan strategik, bersifat neutral dan mempunyai hubungan baik dengan AS, Eropah dan Afrika,” katanya.
Syarikat juga sedang meninjau potensi kerjasama di Indonesia dan benua Afrika. Dalam negara, Valet Technology berminat bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyesuaikan penyelesaian tersebut di peringkat tempatan.
Memperkukuh ESG, Bakat dan Tadbir Urus
Sebagai persediaan untuk penyenaraian awamnya, Valet Technology memperkukuh tadbir urus korporatnya dan menyelaraskan operasinya dengan penanda aras alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Kami telah mematuhi piawaian SIRIM dan CIDB serta kami bekerjasama rapat dengan penasihat kami untuk memenuhi semua keperluan ESG dan penyenaraian,” katanya.
Selain pertumbuhan perniagaan, syarikat juga telah mendapat lesen Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk menawarkan latihan peringkat TVET dalam bidang elektronik melalui akademi dalamannya.
“SI kami menjalani latihan berstruktur sebelum mereka mewakili produk kami. Inisiatif ini akan berkembang kepada pembangunan kemahiran secara formal. Kami mahu membantu membentuk generasi baharu rakyat Malaysia yang mahir dan berupaya bekerja di peringkat global,” katanya.
Prospek Masa Depan dan Gesaan Industri
Rayana percaya penggabungan keselamatan fizikal dan digital akan membentuk masa depan industri keselamatan Malaysia dan rantau ini serta penglibatan proaktif antara kerajaan dan sektor swasta adalah penting.
“Risiko digital berkembang dengan pantas dan landskap ancaman sentiasa berubah. Kita memerlukan kerjasama yang kukuh antara sektor awam dan swasta untuk terus seiring dengan perkembangan ini,” katanya.
Beliau turut menggesa penggubal dasar untuk mempercepat pembangunan peraturan berkaitan siber dan dasar yang tidak lagi relevan dengan keadaan semasa sering memperlahankan kemajuan industri.
“Kita sedang menyaksikan persaingan global dalam bidang ini dan Malaysia tidak boleh ketinggalan. Pengawalseliaan yang berkesan menjadi elemen penting,” katanya.
Beliau berkata pengembangan Valet Technology dalam bidang keselamatan identiti akan diterajui oleh sebuah bahagian baharu di Cyberjaya, menempatkan syarikat untuk fasa pertumbuhan seterusnya.
-- BERNAMA