BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Pakar Penerbangan Sertai Bengkel Kemampanan Penerbangan ASEAN Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 17 Jun (Bernama) -- Seramai 88 pakar penerbangan dari rantau ASEAN dan Eropah menyertai Bengkel ASEAN Mengenai Kelestarian Penerbangan – Penambahbaikan Operasi dan Kecekapan, di sini, bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan industri penerbangan, termasuk fokus terhadap pengukuran pelepasan karbon dan kecekapan ruang udara.

Bengkel selama tiga hari itu dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bersama Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA), dengan sokongan agensi-agensi berkaitan.

Ketua Pegawai Kelestarian AirAsia Yap Mun Ching berkata bengkel ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor penerbangan ASEAN untuk meneroka strategi inovatif ke arah mencapai matlamat sifar bersih, di samping memenuhi peningkatan permintaan industri terhadap kerjasama erat antara pihak pengawal selia dan syarikat penerbangan.

“Sebagai syarikat penerbangan, kami perlu bekerjasama dengan semua pengawal selia untuk melaksanakan strategi sifar bersih. Satu daripada permintaan kami kepada CAAM dan EASA adalah agar mereka menyokong penganjuran bengkel seperti ini.

“Ia bagi meneliti cara mempertingkat kaedah pengukuran pelepasan karbon, menerapkan teknologi baharu, dan mengambil contoh daripada pelan mitigasi pelepasan karbon di Eropah untuk ruang udara kita,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis sambutan bengkel berkenaan malam ini.

Dalam pada itu, Yap berkata perbincangan mengenai kelestarian penerbangan sering kali tertumpu kepada bahan api penerbangan mampan (SAF) dan pengimbangan karbon.

Namun, aspek teras sebenar kepada kelestarian dalam penerbangan ialah kecekapan operasi, katanya.

Yap juga berkata syarikat penerbangan kini mahu bergerak lebih jauh melalui inovasi dan kerjasama rapat dengan pihak pengurusan serta kawalan trafik udara.

Turut hadir pada majlis malam ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia) CAAM Kapten Md Jani Md Dom.

-- BERNAMA