JS-SEZ Tarik Minat Pelabur Global Ketika Johor Muncul Sebagai Pintu Masuk ASEAN
JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) semakin menarik minat pelabur antarabangsa terutamanya dari Jepun, Korea Selatan, China, dan Eropah, apabila Johor meletakkan dirinya sebagai pintu masuk strategik ke pasaran ASEAN.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Mohd Noorazam Osman berkata ini berikutan pertanyaan pelaburan yang diterima baru-baru ini oleh Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) yang mencerminkan minat kukuh daripada pasaran-pasaran utama ini, sekali gus menyerlahkan kemunculan Johor sebagai hab pertumbuhan serantau yang menjanjikan.
“Ini merupakan prospek yang sangat positif bukan sahaja untuk Johor, tetapi juga untuk Malaysia secara keseluruhan. Di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan, para pelabur kini melihat ASEAN sebagai tempat yang menjanjikan ke pasaran serantau baharu,” katanya ketika ditemui selepas berucap sebagai ahli panel di 'Nikkei Forum Medini 2025: Driving Asia’s Innovation Hub' yang diadakan di sini hari ini.
Mengenai sektor-sektor pelaburan utama yang menjadi pilihan, Mohd Noorazam berkata pelabur Jepun khususnya tertarik kepada sektor elektrik dan elektronik, perkhidmatan kewangan, teknologi dan ekonomi digital.
Ditanya mengenai pelaburan Jepun yang telah disahkan, beliau berkata walaupun nama-nama syarikat tertentu masih belum boleh didedahkan, beberapa syarikat telah meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai petunjuk jelas terhadap minat mereka yang kukuh.
“Kami juga telah menerima pertanyaan daripada bank-bank Jepun yang bertindak bagi pihak pelanggan mereka. Kami sedang memudahkan libat urus khususnya dengan institusi seperti Mizuho Bank dan Sumitomo Mitsui Banking Corporation, yang mana Kementerian Ekonomi baru-baru ini telah menandatangani surat niat bersama mereka,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB) Datuk Idzham Mohd Hashim berkata Medini sudah lengkap sepenuhnya untuk menerima kehadiran pelabur-pelabur baharu, disokong oleh infrastruktur yang komprehensif dan ekosistem mesra perniagaan.
Beliau berkata model pembangunan ‘plug and play’ (kemudahan menyeluruh dari hari pertama beroperasi) yang dilaksanakan di Medini membolehkan pelabur memulakan operasi serta-merta tanpa sebarang kelewatan.
“Tanah telah sedia ada dan utiliti-utiliti asas seperti elektrik, air, gentian optik dan sistem kabel sudah tersedia. Pelabur tidak perlu bermula daripada kosong, sebaliknya mereka boleh terus menubuhkan operasi di Medini yang kini telah menempatkan hampir 40 syarikat antarabangsa.
“Perniagaan-perniagaan ini sedang berkembang maju dan kini tiba masanya untuk memperluaskan lagi skala operasi. Di IIB, kami melihat diri kami sebagai rakan kongsi pertumbuhan, komited untuk membantu perniagaan berjaya di Medini,” katanya.
Idzham juga menekankan kualiti hidup yang tinggi di Medini, disokong oleh kemudahan-kemudahan seperti taman mini, Taman Sireh, padang golf, Legoland dan Zoo Johor yang telah dibaik pulih, kesemuanya memenuhi keperluan gaya hidup dan kumpulan pendapatan yang pelbagai.
Mengulas mengenai ketidaktentuan global dan semakan turun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura kepada 0.2 peratus baru-baru ini, beliau mengakui bahawa sesetengah pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat disebabkan oleh ketegangan geopolitik.
“Mungkin akan berlaku pembetulan jangka pendek seperti yang sedang dialami oleh Singapura, tetapi kami percaya ini bersifat sementara. ASEAN kekal sebagai salah satu rantau yang berkembang paling pesat di dunia, dengan kelas pertengahan yang muda dan semakin berkembang. Golongan muda membentuk kira-kira 50 hingga 60 peratus daripada 650 juta penduduk Asia Tenggara,” katanya.
Beliau juga menekankan kelebihan geografi semula jadi Johor dan Singapura sebagai destinasi pelaburan, yang disokong dengan kestabilan politik dan tanpa bencana alam.
Mengenai strategi pembangunan IIB, beliau menegaskan bahawa fokus bukan sahaja pada infrastruktur fizikal tetapi juga kepada infrastruktur sokongan.
“Infrastruktur sokongan ini termasuk pembangunan bakat, pemudah cara oleh agensi-agensi kerajaan dan membolehkan perniagaan mengakses pasaran. Itulah ekosistem yang kami bina, bukan sekadar bangunan dan jalan raya, tetapi sistem sokongan yang diperlukan oleh perniagaan untuk berkembang,” katanya.
Nikkei Forum Medini 2025 yang berlangsung selama dua hari merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk meletakkan Johor sebagai hab inovasi serantau, menyokong inisiatif JS-SEZ bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi dan menyepadukan rantaian nilai antara Malaysia dan Singapura.
-- BERNAMA