BERITA TERKINI   Polis rampas dadah bernilai RM2.6 juta di Johor, sindiket pengedaran tumpas - KP Johor | Keuntungan bersih suku kedua 2025 Petronas Gas Bhd susut kepada RM450.19 juta berikutan hasil rendah sebanyak RM1.59 bilion berbanding RM1.65 bilion tahun lalu | Lembaga Siasatan telah peroleh perakam data penerbangan dan video F/A-18D Hornet - Panglima TUDM | Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya, Selangor pagi tadi telah pulih sepenuhnya - TNB | Untung bersih MISC Bhd suku kedua tahun kewangan 2025 susut 14.1 peratus tahun ke tahun kepada RM464.4 juta susulan hasil lebih rendah sebanyak RM2.72 bilion | 

Prospek Krisis Timur Tengah Reda Pacu Ringgit Dibuka Mengukuh Berbanding Dolar AS

Oleh Siti Noor Afera Abu dan Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga Selasa dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan kemungkinan krisis di Timur Tengah mereda apabila Presiden Donald Trump mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan Iran, kata penganalisis.

Pada 8 pagi ini, ringgit meningkat kepada 4.2770/2980 berbanding dolar AS daripada paras akhir 4.2915/2980, semalam.

Indeks Dolar AS susut 0.29 peratus kepada 98.416 mata.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Presiden Trump mengumumkan Israel dan Iran telah mencapai persetujuan awal untuk melaksanakan gencatan senjata, sekali gus membuka jalan ke arah penyelesaian krisis ketenteraan ketika ini.

Peniaga dan pelabur juga, katanya, kini beralih daripada mata wang selamat kerana beranggapan risiko ketara akibat konflik ketenteraan Israel-Iran kini berkurangan untuk sementara waktu.

“Harga minyak mentah Brent susut kepada US$71.48 setong selepas hampir mencecah US$80 setong semalam susulan harapan menyaksikan krisis ketenteraan itu berakhir.

"Sehubungan itu, ringgit dan mata wang pasaran sedang pesat membangun lain dijangka menunjukkan prestasi lebih baik hari ini susulan perkembangan positif di Timur Tengah," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.9315/9461 daripada 2.9028/9074n, susut berbanding pound Britain kepada 5.7932/8216 daripada 5.7437/7524 dan mengecil berbanding euro kepada 4.9605/9848 daripada 4.9236/9311 sebelum ini.

Unit tempatan itu menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ini termasuk mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 259.3/260.7 daripada 260.2/260.7 semalam dan naik sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.42/7.46 daripada 7.44/7.46.

Namun begitu, ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.3339/3507 daripada 3.3188/3243 dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.0361/1081 daripada 12.9998/13.0250 sebelum ini.

-- BERNAMA