BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

MEEPA Bantu Pengeluar Malaysia Tembusi Pasaran Eropah - FMM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia (MEEPA) Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) yang dimeterai semalam akan memberi kelebihan daya saing dan peluang yang stabil kepada pengeluar Malaysia menembusi pasaran Eropah yang bernilai tinggi, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata perjanjian itu akan membantu mengurangkan pendedahan pengeluar Malaysia terhadap gangguan ekonomi global dan menyokong pertumbuhan jangka panjang. 

"Perjanjian ini menjamin akses bebas cukai jangka panjang bagi lebih 90 peratus eksport Malaysia ke empat negara anggota EFTA, meliputi semua produk perindustrian.

“Selain penghapusan tarif, MEEPA turut merangkumi komitmen kerjasama dan pembangunan kapasiti dalam bidang seperti mobiliti hijau dan pendigitalan. Usaha ini dijangka menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi dan berasaskan inovasi ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Soh berkata perjanjian itu menyediakan akses yang lebih luas kepada pengeluar Malaysia untuk menembusi pasaran Eropah yang maju, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Dengan jumlah dagangan Malaysia dengan negara EFTA mencecah RM14.4 bilion pada 2024, MEEPA berpotensi besar untuk meningkatkan prestasi eksport Malaysia serta menarik pelaburan teknologi tinggi secara lebih meluas.

“FMM menggalakkan industri untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang di bawah perjanjian ini dan komited menyokong perniagaan dalam mengoptimumkan manfaat daripada kerangka perdagangan penting ini,” katanya.

MEEPA, yang ditandatangani pada 23 Jun di Norway, disifatkan sebagai perjanjian penting dalam memperkukuh pertumbuhan mampan dan daya tahan pengeluar Malaysia di tengah-tengah ketidaktentuan global dan perubahan geopolitik semasa.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, perjanjian ini meliputi bidang barangan, perkhidmatan, pelaburan, hak harta intelek, pemudahcaraaan kastam, dasar persaingan, langkah sanitari dan fitosanitari, perdagangan dan pembangunan mampan, perolehan kerajaan serta kerjasama ekonomi.

-- BERNAMA