BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Perdagangan Perkhidmatan Malaysia Meningkat 14.6 Peratus Kepada RM497.4 Bilion

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Jumlah perdagangan perkhidmatan Malaysia meningkat sebanyak 14.6 peratus kepada RM497.4 bilion tahun lepas berbanding RM434.0 bilion yang dicatatkan pada 2023, menyumbang 25.8 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada harga semasa.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui satu kenyataan hari ini berkata eksport perkhidmatan menokok 24.6 peratus kepada RM242.9 bilion daripada RM195.0 bilion pada tahun sebelumnya.

Begitu juga, import perkhidmatan naik sebanyak 6.5 peratus kepada RM254.5 bilion berbanding RM239.0 bilion yang disaksikan pada 2023. 

"Memandangkan eksport perkhidmatan melonjak lebih cepat daripada import, defisit menyempit dengan ketara daripada RM44.0 bilion kepada RM11.7 bilion," tambahnya.

DOSM berkata Asia terus menjadi destinasi utama bagi eksport perkhidmatan Malaysia, yang membentuk RM164.0 bilion atau 67.5 peratus daripada jumlah perkhidmatan. 

Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan China adalah tiga destinasi utama untuk eksport perkhidmatan Malaysia.

Asia juga menjadi sumber utama import dengan bahagian 58.6 peratus atau RM149.0 bilion. 

Sumber utama import perkhidmatan adalah dari Amerika Syarikat, Singapura dan China.

-- BERNAMA