BERITA TERKINI   SEANWFZ: China menyatakan kemahuan menandatangani 'without reservation' - Menteri Luar Mohamad | ASEAN hargai kesediaan Negara Senjata Nuklear menyokong Protokol SEANWFZ - Mohamad Hasan | ASEAN perlu bertindak secara kolektif untuk mewujudkan keadaan yang membolehkan Negara Senjata Nuklear meratifikasi SEANWFZ - Mohamad Hasan | Menegakkan hak asasi manusia penting bagi membentuk ASEAN yang berdaya tahan, dinamik dan berpaksikan manusia - Mohamad Hasan | Mesyuarat AICHR diadakan hari ini sempena bermulanya fasa baharu di bawah Visi ASEAN 2045 - Mohamad Hasan | 

UMS, Bursa Malaysia Jalin Kerjasama Tingkat Celik Kewangan Golongan Belia

LABUAN, 25 Jun (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Bursa Malaysia Bhd menjalin kerjasama untuk meningkatkan tahap celik kewangan dan pendidikan pelaburan yang praktikal dalam kalangan penuntut universiti.

Surat hasrat (LOI) antara kedua-dua pihak bagi kerjasama itu dimeterai di Kampus Antarabangsa Labuan UMS (UMSKAL) hari ini, bersempena ulang tahun ke-10 Pertandingan Perdagangan Saham (STC) anjuran Kelab Kewangan Antarabangsa Fakulti Kewangan Antarabangsa, UMS.

Pengarah UMSKAL Profesor Dr Shamsul Bahari Shamsudin turut hadir merasmikan majlis menandatangani LOI berkenaan.

Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa UMSKAL Profesor Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata kerjasama baharu itu merintis kepada penubuhan Bursa Young Investor Club (BYIC) di kampus berkenaan dan mengesahkan penyertaan UMS dalam Bursa Inter-Varsity Stock Challenge (BISC) 2025.

CGS International Securities Malaysia akan bertindak sebagai penasihat dan broker rasmi UMS sepanjang pertandingan tersebut, kata beliau.

Dr Tanakinjal berkata LOI tersebut bukan sekadar dokumen formal, tetapi merupakan kerjasama strategik berasaskan visi bersama untuk memupuk kesedaran pelaburan, memperkukuh celik kewangan dan memperkasa penuntut dengan kemahiran yang relevan dalam industri.

Kerjasama ini akan memberi peluang kepada penuntut untuk mengikuti program pendidikan berstruktur, menggunakan alatan simulasi pelaburan dan mendedahkan mereka kepada industri sebenar, sekali gus mengukuhkan kemahiran praktikal mereka.

"UMS komited menyampaikan ilmu kewangan yang bersifat teori dan praktikal, katanya.

Sementara itu, beliau berkata penubuhan BYIC di UMSKAL akan diselaras oleh LifeChamp Sdn Bhd selaku pengurus program yang dilantik oleh Bursa Malaysia, dengan sokongan pihak universiti melalui penyediaan kemudahan dan penasihat khas fakulti.

 “Bursa Malaysia dan LifeChamp akan menyediakan kandungan, bimbingan dan sumber pendidikan untuk menyokong pelaksanaan kelab ini,” kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Shamsul berkata kerjasama tersebut merupakan tanggungjawab bersama ke arah melahirkan graduan yang celik kewangan.

“Kerjasama ini menjadi penanda aras baharu dalam hubungan industri dan akademia, mencerminkan komitmen berterusan UMS terhadap pembangunan belia, daya tahan kewangan negara dan pendidikan transformasi yang selaras dengan aspirasi nasional,” katanya.

-- BERNAMA