BERITA TERKINI   Malaysia, Australia setuju perkukuh kerjasama teknikal antara Petronas dan pihak berkaitan Australia bagi pastikan kestabilan bekalan tenaga - PM Anwar | Malaysia kekal teguh pendirian terhadap Palestin, hargai sokongan Australia terhadap bantuan kemanusiaan serta usaha penyelesaian secara aman - PM Anwar | Bank Rakyat umum bayar dividen 18 peratus berjumlah RM534.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 | Golden Destinations yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, dibuka pada 49 sen iaitu premium empat sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) dengan 15 juta saham diniagakan  | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar US

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Ringgit meneruskan kenaikannya berbanding dolar US pada Khamis, disokong oleh komen Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell yang menekankan ketidaktentuan daripada kesan inflasi tarif.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2255/2475 berbanding dolar US daripada 4.2335/2405 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prospek penurunan kadar AS kekal kerana risiko penurunan kepada pertumbuhan terus meningkat dalam persekitaran sentimen yang lemah dalam kalangan pengguna dan perniagaan.

“Berdasarkan faktor itu, pasaran masih yakin Fed AS akan menurunkan kadar faedah pada separuh kedua tahun ini dengan dua penurunan kadar kini nampaknya menjadi asas,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam juga berkata Indeks Dolar AS (DXY) jatuh 0.18 peratus kepada 97.679 mata, menunjukkan kadar pertukaran dolar US-ringgit mungkin berlegar antara 4.22 dan 4.23 hari ini.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9161/9315 daripada 2.9070/9120, turun berbanding pound Britain kepada 5.7843/8144 daripada 5.7631/7726 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.9367/9624 daripada 4.9113/9194.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia naik berbanding peso Filipina kepada 7.45/7.49 daripada 7.46/7.48, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 259.2/260.6 daripada 259.7/260.2, bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3092/3269 daripada 3.3061/3121 dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9899/13.0648 daripada 12.9584/9858.

-- BERNAMA