BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

MIDF Amanah: Penutupan Selat Hormuz Dijangka Bawa Risiko Kecil Kepada Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Kemungkinan penutupan Selat Hormuz oleh Iran berikutan undian di parlimen negara itu baru-baru ini dijangka hanya memberi risiko kecil kepada Malaysia, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikan hari ini berkata koridor perdagangan utama Asia-Eropah Malaysia, yang menyumbang kurang daripada 15 peratus kepada jumlah volum di Westports, melangkaui dari Selat Hormuz sepenuhnya.

“Kesesakan di pelabuhan dalam tempoh jangka pendek dan kelewatan di dermaga mungkin masih berlaku jika berlakunya penjadualan semula singgahan kapal dan penyelarasan semula kapal pengantara ke rantau ini pada separuh kedua 2025.

“Walaupun laluan perkapalan Laut Merah sudah hampir kembali normal, ketegangan yang meningkat di Selat Hormuz memberikan risiko baharu kepada aliran kontena serantau, berikutan undian parlimen Iran baru-baru ini untuk menutup selat itu sebagai tindakan balas terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas pelbagai kemudahan nuklearnya,” kata bank pelaburan itu.

MIDF Amanah berkata penutupan selat itu akan menyekat akses ke pelabuhan utama Teluk, seperti Jebel Ali dan Dammam, menyebabkan syarikat perkapalan terpaksa sama ada menangguhkan singgahan di  Teluk atau mengalihkan kargo melalui hab alternatif dengan kapasiti terhad.

"Ini boleh menyebabkan kesesakan sementara trafik kapal dan penggunaan limbungan yang lebih tinggi di hab pemindahan kapal serantau ketika perkapalan membuat penyelarasan, menyusun semula kontena kosong dan menguruskan gangguan penjadualan," katanya.

-- BERNAMA