BERITA TERKINI   Kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel membolehkan kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas biayai program kebajikan rakyat - Amir Hamzah | Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan - Amir Hamzah | Sultan Brunei berangkat tiba di Subang untuk Lawatan Negara empat hari ke Malaysia | Polis rampas dadah bernilai RM2.6 juta di Johor, sindiket pengedaran tumpas - KP Johor | Keuntungan bersih suku kedua 2025 Petronas Gas Bhd susut kepada RM450.19 juta berikutan hasil rendah sebanyak RM1.59 bilion berbanding RM1.65 bilion tahun lalu | 

Perdagangan Barang Dunia Pulih Awal 2025 Susulan Jangkaan Tarif AS - WTO

MOSCOW, 27 Jun (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Perdagangan barang dunia mencatat peningkatan ketara pada awal 2025 berikutan langkah negara pengimport mempercepatkan pembelian menjelang pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS), namun pesanan eksport yang semakin lemah menunjukkan momentum itu mungkin tidak berpanjangan, menurut Barometer Perdagangan Barang Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), lapor Sputnik/RIA Novosti.

Barometer Perdagangan Barang WTO merupakan petunjuk awal bagi trend perdagangan dunia yang memberikan maklumat masa nyata berhubung dinamika perdagangan barangan sejajar dengan perkembangan semasa. Bacaan barometer melebihi 100 dikaitkan dengan volum perdagangan yang melepasi purata, manakala bacaan di bawah 100 menunjukkan perdagangan berada di bawah paras trend atau dijangka menyusut dalam masa terdekat.

“Perdagangan barang global mencatat lonjakan kukuh pada awal 2025, didorong oleh langkah pengimport mempercepat pembelian sebelum tarif yang lebih tinggi dilaksanakan. Bagaimanapun, pesanan eksport yang semakin lemah menunjukkan pertumbuhan perdagangan mungkin perlahan,” menurut WTO pada Khamis.

Barometer terkini meningkat kepada 103.5 berbanding 102.8 pada Mac, namun indeks pesanan eksport baharu yang bersifat jangka hadapan menurun kepada 97.9, menandakan pertumbuhan perdagangan yang lebih perlahan dalam separuh kedua tahun ini.

Pada 2 April, Presiden AS Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif melaksanakan tarif balas terhadap import dari pelbagai negara. Kadar tarif asas ditetapkan pada 10 peratus, dengan kadar lebih tinggi dikenakan ke atas 57 negara berdasarkan defisit dagangan AS dengan setiap negara tersebut.

Pada 9 April, Trump mengumumkan bahawa tarif asas 10 peratus akan dikenakan selama 90 hari ke atas lebih 75 negara yang tidak mengambil tindakan balas dan telah meminta rundingan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI