BERITA TERKINI   PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | Kejayaan Petronas peroleh telaga gas di Turkmenistan bukti keyakinan negara luar terhadap keupayaan Malaysia, syarikat tempatan - PM Anwar | PRN Johor: PH umum Nor Zulaila Abd Ghani sebagai calon kerusi DUN Tiram, Lee Wern Yiing calon DUN Johor Jaya - Loke | 

Bursa Malaysia Lulus Cadangan Pelan Pemulihan Sapura Energy Keluar Daripada Status PN17

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia) telah meluluskan pelan pemulihan Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) untuk membolehkan syarikat itu keluar daripada status Notis Amalan 17 (PN17), selepas empat kali tempoh lanjutan tarikh akhir.

“Pelan pemulihan semula yang dicadangkan itu terdiri daripada cadangan penstrukturan semula modal, penstrukturan semula hutang, cadangan pengumpulan dana dan cadangan pengecualian,” kata Sapura Energy dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu memperoleh status PN17 pada 31 Mei, 2022 berikutan ekuiti pemegang saham yang disatukan sebanyak RM85 juta kurang 50 peratus daripada modal sahamnya sebanyak RM10.87 bilion pada 31 Jan, 2022, dan ketidakpastian material berkaitan yang dinyatakan oleh juruaudit syarikat dalam penyata kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan 2022.

Sapura Energy memohon lanjutan tarikh akhir buat kali pertama pada 31 Mei, 2023, dengan permohonan lanjutan terbaharu dibuat pada 17 Dis, 2024, untuk lanjutan selama enam bulan sehingga 31 Mei, 2025.

Bagi mendapatkan kelulusan, Sapura Energy dan penasihat utamanya bagi cadangan pelan pemulihan itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd mesti mematuhi sepenuhnya peruntukan berkaitan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama berhubung pelaksanaan pelan yang dicadangkan.

-- BERNAMA