OPR Dijangka Turun 25 Mata Asas Pada Separuh Kedua - HLIB
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan pendirian berhati-hati dan bertindak mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua 2025.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata unjuran ini dibuat berdasarkan petunjuk monetari yang bercampur-campur, ketidaktentuan dasar perdagangan yang berlanjutan serta tekanan inflasi yang masih lemah.
Bank pelaburan itu berkata ketidaktentuan dasar perdagangan global juga dijangka kekal tinggi, terutamanya apabila Malaysia menghampiri tempoh akhir rundingan 90 hari dengan Amerika Syarikat (AS).
“Risiko perlindungan kekal tinggi dengan tarif universal sebanyak 10 peratus dijangka terus dikekalkan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
HLIB berkata indikator monetari juga bercampur-campur pada Mei dengan penawaran wang (M1) menguncup dan melonjak sehingga 4.4 peratus tahun ke tahun daripada 3.8 peratus pada April lepas.
Bagaimanapun, penawaran wang meluas (M3) susut kepada 2.7 peratus daripada 3.2 peratus.
Selain itu, petunjuk utama pinjaman juga bercampur-campur dengan kelulusan pinjaman meningkat, permohonan pinjaman sederhana manakala pengeluaran pinjaman pula susut.
HLIB berkata pelabur asing telah beralih menjadi pembeli bersih bon dan ekuiti tempatan sepanjang bulan berkenaan.
“Minat pelabur asing terhadap bon Malaysia pula terus meningkat pada Mei (+RM12.9 bilion), apabila pelabur bon berpindah dari pasaran AS ke pasaran hutang negara sedang membangun. Aliran ini turut diperkukuh oleh perkembangan positif dalam rundingan perdagangan Malaysia-AS serta prestasi ringgit yang mengukuh,” katanya.
“Pada masa sama, pelabur asing beralih menjadi pembeli bersih dalam pasaran ekuiti (+RM1.0 bilion) selepas tujuh bulan berturut-turut mencatatkan jualan bersih,” katanya.
Dalam pada itu, deposit asing pula mencatat pertumbuhan stabil sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun iaitu tidak berubah sejak April, kata HLIB.
-- BERNAMA