BERITA TERKINI   Polis rampas dadah bernilai RM2.6 juta di Johor, sindiket pengedaran tumpas - KP Johor | Keuntungan bersih suku kedua 2025 Petronas Gas Bhd susut kepada RM450.19 juta berikutan hasil rendah sebanyak RM1.59 bilion berbanding RM1.65 bilion tahun lalu | Lembaga Siasatan telah peroleh perakam data penerbangan dan video F/A-18D Hornet - Panglima TUDM | Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya, Selangor pagi tadi telah pulih sepenuhnya - TNB | Untung bersih MISC Bhd suku kedua tahun kewangan 2025 susut 14.1 peratus tahun ke tahun kepada RM464.4 juta susulan hasil lebih rendah sebanyak RM2.72 bilion | 

Kecemerlangan Ekonomi 2024 Perkukuh Agenda Maju Johor - Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) -- Kejayaan Johor dalam merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang tinggi telah memperkukuhkan pelaksanaan Agenda Maju Johor yang menyasarkan pertumbuhan KDNK antara tujuh hingga lapan peratus setahun, menjelang 2030.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata tumpuan akan diberikan kepada dasar mesra pelabur, pembangunan infrastruktur moden dan usaha memperkasa ekonomi rakyat agar Johor menjadi negeri yang makmur, mampan serta inklusif.

"Syukur Alhamdulillah. Johor muncul sebagai negeri yang mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi pada 2024 iaitu 6.4 peratus, melepasi kadar pertumbuhan nasional dengan nilai KDNK Johor kini mencecah RM158.0 bilion. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah berganding bahu menjayakan usaha ini.

“Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk Johor terus maju sebagai pusat pelaburan bertaraf antarabangsa, memacu pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk semua. Insya-Allah," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Onn Hafiz berkata pencapaian itu turut didorong oleh peranan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang kian menyerlah sebagai hab pelaburan serantau. Kedudukan Johor yang strategik, rangkaian infrastruktur yang baik, pelabuhan bertaraf dunia serta zon perindustrian yang luas menjadi kelebihan kompetitif yang berjaya memperkukuhkan keyakinan pelabur.

"Menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa memberikan sokongan, nasihat dan bimbingan untuk memastikan pembangunan ekonomi negeri terus dipacu demi kemajuan dan kesejahteraan Bangsa Johor, " katanya. 

Laporan KDNK Mengikut Negeri 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam merekodkan Johor sebagai negeri dengan pertumbuhan tertinggi pada kadar 6.4 peratus, melepasi purata nasional 5.1 peratus.

Pertumbuhan itu disumbang oleh kemajuan pesat dalam sektor perkhidmatan, pembinaan dan pembuatan yang dipacu oleh pembangunan pusat data, infrastruktur digital serta ekosistem industri yang kompetitif.

Johor turut kekal sebagai penyumbang utama kepada KDNK pertanian negara dengan sumbangan 17.3 peratus, didorong oleh peningkatan pengeluaran kelapa sawit dan subsektor pemprosesan makanan serta minyak sayuran.

-- BERNAMA