BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | Unit Tuju Setia peroleh kontrak kerja-kerja pembinaan daripada Sime Darby Property bernilai RM359.3 juta | 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan terbabit penipuan dalam talian pada 7 April | Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis KL-Kepong Oleomas di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | 

Dolar AS Lemah, Pemulihan Sektor Teknologi Dijangka Perlahan -- CIMB Securities

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan kelemahan berterusan dolar Amerika Syarikat (AS) akan memberi tekanan ke atas pemulihan sektor teknologi dalam separuh kedua 2025.

Dalam nota penyelidikannnya, firma pembrokeran itu berkata impak berkenaan dijangka minimum bagi pemain perkhidmatan pembuatan.

“Meskipun dalam keadaan ketidaktentuan mata wang, kami menjangkakan pertumbuhan jualan suku ke sektor dalam angka satu digit bagi suku kedua 2025 yang didorong oleh sumbangan kukuh segmen pengujian berautomatik,” katanya.

Selain itu, segmen penyumberan luar pemasangan dan pengujian (OSAT) dijangka mencatat pertumbuhan jualan yang sederhana bagi suku ke suku, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan di China serta pesanan lebih stabil bagi segmen pelayan untuk kegunaan umum.

Ini secara amnya seiring dengan unjuran pertumbuhan purata jualan suku ke suku syarikat-syarikat semikonduktor global pada 3.8 peratus.

CIMB Securities telah mengekalkan pendirian “neutral” terhadap sektor teknologi Malaysia dengan pemulihannya masih samar berikutan kekurangan momentum di luar ruang lingkup kecerdasan buatan (AI).

Cabaran jangka masa terdekat itu termasuk kenaikan tarif elektrik, sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing dan potensi ketidaktentuan permintaan selepas Julai apabila tempoh penangguhan tarif AS selama 90 hari, berakhir.

“Walaupun penilaian masih di bawah tahap sebelum ini, sebarang kemungkinan berlakunya  kelemahan permintaan akan memberi impak ke atas prospek pendapatan,” katanya.

-- BERNAMA