BERITA TERKINI   Projek pembangunan kerajaan dan swasta mesti manfaatkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah - PM Anwar | Kerjasama strategik Malaysia dengan Rusia dan Turkmenistan perkukuh jaminan bekalan tenaga negara untuk tempoh puluhan tahun - PM Anwar | PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | 

Gamuda Anugerah Kontrak CBTC, SCADA Kepada Hitachi Rail Bagi Projek MRT Di Taiwan

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Gamuda Bhd, kontraktor utama bagi Jabatan Sistem Transit Rapid (DORTS) Kerajaan Bandaraya New Taipei (NTCG), menganugerahkan kontrak kepada Hitachi Rail untuk membekalkan sistem Kawalan Tren Berasaskan Komunikasi (CBTC).

Kontrak itu juga merangkumi penghantaran penyelesaian Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA) untuk projek MRT Xizhi-Donghu (Xidong) – Nangang-Badu (Keelung), yang menghubungkan Bandaraya New Taipei dan Bandaraya Keelung di Taiwan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hitachi Rail berkata penglibatannya dalam projek MRT ini akan membawa inovasi kepada rangkaian transit bandar Taipei.

“Projek ini akan menggunakan teknologi SelTrac CBTC, iaitu sistem isyarat moden yang menggunakan komunikasi tanpa wayar antara tren dan infrastruktur untuk membolehkan operasi yang lebih cekap dan selamat berbanding sistem konvensional.

“Teknologi ini termasuk ciri-ciri komunikasi termaju, platform isyarat berasaskan awan persendirian dan penyeliaan kawalan tren bagi meningkatkan kebolehpercayaan dan kecekapan sistem secara keseluruhan,” katanya.

Selain itu, Hitachi Rail berkata sistem berkenaan akan dilengkapi dengan teknologi telemetri dan analitik data yang canggih bagi meningkatkan automasi dan penyelenggaraan ramalan, kebolehselenggaraan jangka panjang dan kecemerlangan operasi.

“Projek ini juga melibatkan pelaksanaan sistem SCADA yang memanfaatkan ALVEA, yang menawarkan modulariti, kebolehskalaan, kebolehselenggaraan dan kesediaan berasaskan awan.

“ALVEA membolehkan aliran data yang lancar daripada pengkomputeran tepi ke awan, menyediakan pengendali akses jauh kepada cerapan melalui portal bersatu atau pusat operasi – sekali gus meningkatkan fleksibiliti dan tahap responsif,” katanya.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Hitachi Rail Taipei Cyrille Bataille berkata syarikat itu berbesar hati untuk meneruskan komitmennya dalam menyampaikan penyelesaian berkualiti tinggi kepada DORTS NTCG melalui kerjasama dengan Gamuda.

Sementara itu, Pengarah Wilayah Gamuda Eric Foong Vooi Lin berkata kumpulan berkenaan teruja untuk bekerjasama dengan Hitachi Rail dan menyifatkan syarikat itu sebagai rakan kongsi utama jangka panjang di Taiwan serta di rantau ini.

“Syarkat bersedia untuk terus mencipta nama sebagai sebagai penyepadu sistem rel global dengan kepakaran dalam menguruskan projek rel yang kompleks dan pelbagai disiplin merentas keseluruhan kitaran hayat,” katanya.

Gamuda berkata keupayaan sistem komprehensif kumpulan itu menyepadukan dengan lancar semua komponen kritikal, daripada kerja-kerja sivil dan sistem landasan kepada Sistem Kawalan Komunikasi Bersepadu (ICCS) yang canggih, bekalan kuasa dan elektrifikasi, komunikasi, sistem mekanikal dan elektrik, serta set tren.

“Keupayaan bersepadu ini membolehkan kumpulan menyampaikan penyelesaian siap guna untuk operasi tren yang sempurna,” katanya.

Gamuda berkata pihaknya mempunyai rekod prestasi yang terbukti di pasaran serantau, dengan berjaya melaksanakan projek-projek utama seperti Projek Landasan Berkembar Elektrik (EDTP) sepanjang 329 kilometer yang mengubah landskap Malaysia, Laluan MRT Kajang dan Putrajaya, serta Projek Isyarat Kapasiti Tinggi METRONET yang canggih di Australia.

Ia menambah pencapaian-pencapaian itu menekankan kepakaran kumpulan berkenaan dalam menguruskan infrastruktur rel yang kompleks merentas pelbagai persekitaran teknikal dan kawal selia.

-- BERNAMA