AirAsia Sasar Tingkat Laluan Ke Pulau Pinang Dalam Rancangan Pengembangan Serantau
GEORGE TOWN, 8 Julai (Bernama) -- AirAsia sedang giat meneroka peluang untuk meningkatkan ketersambungan penerbangan ke dan dari Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan wilayahnya yang berterusan, sekali gus mengesahkan komitmennya untuk mengukuhkan kebolehcapaian serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata syarikat penerbangan itu ketika ini sedang meneliti potensi beberapa laluan baharu melibatkan Pulau Pinang, iaitu salah satu destinasi pelancongan paling popular di Malaysia.
“Kami akan melakukan lebih banyak kajian mengenainya. Satu perkara yang pasti, sebagai syarikat penerbangan, tugas dan perniagaan kami ialah menghubungkan orang ramai dan tempat. Tetapi sudah pasti, kami perlu memastikan ketersambungan itu mampan.
“Jadi, ada beberapa destinasi yang kami mahu sambungkan ke Pulau Pinang,” katanya kepada wartawan selepas sidang media ‘AirAsia RedRun lands in Malaysia for the first time in Penang’, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fareh berkata sebarang rancangan pengembangan mesti seiring dengan kemampanan operasi dan daya maju jangka panjang, dengan syarikat penerbangan memberi tumpuan khususnya pada laluan mudah diakses yang mempunyai permintaan tinggi dan potensi komersial.
Walaupun tiada laluan baharu khusus yang telah disahkan, beliau berkata tumpuan AirAsia kekal pada destinasi serantau, dengan rancangan untuk meningkatkan ketersambungan Pulau Pinang dalam ASEAN dan pasaran berhampiran.
Sementara itu, Wong berkata berdasarkan data lapangan terbang, AirAsia membawa lebih 1.8 juta penumpang menerusi Pulau Pinang merentasi wilayah pada separuh pertama tahun ini dan menyumbang 38 peratus ketibaan pesawat penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
“Setakat ini, AirAsia menghubungkan Pulau Pinang dengan tujuh bandar antarabangsa, iaitu Bangkok, Medan, Jakarta, Surabaya, Shenzen, Singapura dan Bandaraya Ho Chi Minh, serta lima destinasi domestik, termasuk Johor Bahru, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kuching, Kota Kinabalu dan Langkawi.
“Terdapat 239 penerbangan mingguan AirAsia ke Pulau Pinang dari destinasi antarabangsa dan domestik. Selain itu, ia turut menghubungkan bandar antarabangsa lain melalui program ‘Fly-thru’ AirAsia dan menyediakan penerbangan transit dari bandar antarabangsa menerusi KLIA ke Pulau Pinang,” katanya.
AirAsia yang membawa acara RedRun yang amat dinantikan ke Pulau Pinang buat kali pertamanya, menandakan usaha berterusan dalam inisiatif serantau syarikat penerbangan itu bagi mengetengahkan destinasi pelancongan utama di seluruh ASEAN.
Acara ‘RedRun Penang’ yang akan diadakan pada 28 September di Gurney Plaza, mempelawa ribuan peserta dari seluruh rantau ini untuk menyertai tiga kategori larian, iaitu 3 kilometer (km), 5 km dan 10 km.
Pendaftaran bagi RedRun dibuka sehingga 18 Ogos, 2025.
-- BERNAMA