Pasaran Getah Ditutup Bercampur-Campur Berikutan Kebimbangan Bekalan Kurang

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia mengakhiri dagangan hari ini dengan bercampur-campur susulan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan bahan mentah akibat faktor cuaca di negara-negara pengeluar utama, kata peniaga.

Beliau berkata agensi kaji cuaca Thailand - negara pengeluar utama komoditi itu, telah memberi amaran mengenai hujan lebat yang berkemungkinan menyebabkan banjir kilat pada 10-12 Julai, 2025.

Selain itu, sentimen pasaran juga lebih positif selepas Persatuan Penumpang Kereta China melaporkan peningkatan jualan kereta pada Jun yang juga bulan kelima berturut-turut.

“Ia meningkat sebanyak 18.6 peratus tahun ke tahun kepada 2.1 juta kenderaan, naik daripada 13.9 peratus yang dicatatkan pada Mei lepas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan seterusnya dikekang oleh penurunan harga minyak mentah berikutan ketidaktentuan ekonomi global berhubung keputusan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).

“Harga minyak lebih rendah pada hari ini selepas mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua minggu pada sesi sebelumnya ketika pelabur menunggu perkembangan berkaitan tarif AS dan jangkaan peningkatan stok simpanan minyak mentah negara maju itu,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 meningkat 1.5 sen kepada 708.0 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 0.5 sen kepada 565.0 sen sekilogram.

-- BERNAMA