BERITA TERKINI   Azmin Ali letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN | Datuk Dr Sahruddin Jamal umum letak jawatan Pengerusi PN Johor | Muhyiddin umum letak jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026 | 

Bursa Malaysia Dibuka Rendah Seiring Prestasi Wall Street

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia susut pada sesi dagangan awal hari ini, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang lemah berikutan kekurangan petunjuk ekonomi baharu bagi menggerakkan pasaran.

Pada jam 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.61 mata atau 0.16 peratus kepada 1,678.38 daripada 1,680.99, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka turun 3.33 mata pada 1,677.66.

Pasaran secara meluas kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 117 berbanding 112 manakala 282 kaunter tidak berubah, 2,212 tidak diniagakan dan 78 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 96.30 juta saham bernilai RM36.51 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah susulan sentimen yang kekal berhati-hati dalam suasana dagangan suram.

Di peringkat domestik, beliau berkata sentimen pasaran sebaliknya kekal kukuh dengan indeks utama dijangka menutup 2025 dengan prestasi positif.

“Berikutan paras 1,700 yang makin hampir dicapai, kami berharap paras ini dapat ditembusi dalam masa terdekat. Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,675 hingga 1,685,” katanya kepada Bernama.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.42, CIMB turun satu sen kepada RM8.22, Tenaga Nasional rugi 10 sen kepada RM13.78 manakala Public Bank dan IHH masing-masing tidak berubah pada RM4.51 dan RM8.56.

Selain itu, saham paling aktif pula menyaksikan TWL dan Zetrix masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 81.5 sen, MQ Technology menokok satu sen kepada 9.5 sen, Mega Fortis susut 1.5 sen kepada 78.5 sen, manakala NexG meningkat satu sen kepada 28 sen.

Saham yang mencatat keuntungan ketara adalah Hong Leong Industries yang menokok 29 sen kepada RM16.60, Bintulu Port meraih 17 sen kepada RM5.48, Country View meningkat sembilan sen kepada RM2.89, Chin Hin naik enam sen kepada RM2.50 dan Crescendo meningkat lima sen kepada RM1.32.

Sebaliknya, kaunter paling rugi didahului oleh Nestle yang jatuh 70 sen kepada RM115, Petronas Dagangan merosot 18 sen kepada RM19.62 dan Malayan Cement serta Kim Loong susut enam sen kepada RM7.57 dan RM2.35.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 11.71 mata kepada 12,293.18, Indeks FBMT Top 100 turun 11.40 mata kepada 12,097.93 dan Indeks FBM Emas Shariah menguncup 11.11 mata kepada 12,102.81.

Indeks FBM Mid 70 menambah 17.67 mata kepada 16,803.61 manakala Indeks FBM ACE susut 9.50 mata kepada 4,865.28.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 15.46 mata kepada 19,661.53, Indeks Tenaga meningkat 2.02 mata kepada 766.94, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.09 mata kepada 174.01 dan Indeks Perladangan turun 20.15 mata kepada 8,301.97.

-- BERNAMA