BERITA TERKINI   Projek pembangunan kerajaan dan swasta mesti manfaatkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah - PM Anwar | Kerjasama strategik Malaysia dengan Rusia dan Turkmenistan perkukuh jaminan bekalan tenaga negara untuk tempoh puluhan tahun - PM Anwar | PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | 

Manulife Jangka Kemungkinan Penurunan OPR Selanjutnya Bagi Malaysia Separuh Kedua 2025

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Manulife Investment Management (Manulife IM) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada separuh kedua 2025.

Ini berikutan berlaku perubahan dinamik global dan domestik, disokong oleh minat berterusan pelabur terhadap pasaran bon dan mata wang negara.

Ketua Pendapatan Tetap Manulife IM Asia (tidak termasuk Jepun) Murray Collis berkata persekitaran menjadi sedikit lebih seimbang dalam tempoh 24 jam yang lepas dan beliau percaya BNM akan mempertimbangkan satu lagi penurunan kadar pada masa hadapan.

Katanya, ini memandangkan perkembangan perdagangan terkini serta potensi kesannya terhadap ekonomi domestik.

“Dari perspektif pasaran bon, kami masih menyukai kadar dan mata wang Malaysia,” katanya dalam satu taklimat media secara maya mengenai Tinjauan Pasaran Serantau Pertengahan 2025 hari ini.

Murray berkata bon tempatan dijangka mendapat manfaat daripada kitaran pelonggaran semasa dengan menyifatkan pasaran masih menawarkan hasil yang munasabah dan mata wang Malaysia kelihatan menarik dari perspektif jangka panjang.

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengumumkan penurunan sebanyak 25 mata asas bagi OPR kepada 2.75 peratus dan kadar siling serta lantai dalam koridor OPR turut dikurangkan masing-masing kepada tiga peratus dan 2.5 peratus.

BNM kali terakhir mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus pada Mac 2023. Ia dinaikkan kepada tiga peratus pada Mei 2023.

BNM dijadualkan mengadakan Mesyuarat MPC yang seterusnya pada 4 Sept, 2025.

-- BERNAMA