BERITA TERKINI   Pembangunan solar terapung hidro hibrid dan hab hidrogen hijau di Kenyir berpotensi tarik pelaburan serantau dan antarabangsa – PM Anwar | Pembangunan solar terapung hidro hibrid hab hidrogen hijau di Kenyir buka ruang anak tempatan terima pendidikan TVET oleh Petronas dan TNB - PM Anwar | Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO - MOTAC | 

Bank Muamalat Perkenal Ar-Rahnu BIZ Untuk Pembiayaan Syarikat Sehingga RM5 Juta

 

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd hari ini memperkenalkan produk baharu Ar-Rahnu BIZ, inisiatif pembiayaan Islamik khas untuk syarikat berdaftar (Sdn Bhd dan enterprise) yang memerlukan akses modal pantas sehingga RM5 juta dengan menggunakan emas sebagai cagaran.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Muamalat berkata Ar-Rahnu BIZ merupakan sebahagian daripada usaha bank itu untuk memperkasa usahawan tempatan dengan penyelesaian kewangan yang fleksibel, selamat dan patuh syariah.

“Inisiatif ini seiring dengan aspirasi bank untuk memperluas literasi kewangan, menyokong kelangsungan perniagaan komuniti dan mendukung misi untuk membina kehidupan lebih baik secara bersama,” katanya.

Sementara itu, Bank Muamalat juga telah meraikan pelanggan bertuah yang memenangi hadiah utama Kempen Gadai Emas Menang Emas 2.0 (GEME 2.0), menerusi satu majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Bank Muamalat cawangan Sungai Petani, Kedah.

“Kempen yang berlangsung dari 1 Mac hingga 31 Disember, 2024 ini merupakan inisiatif strategik bagi meningkatkan kesedaran mengenai manfaat penyelesaian pembiayaan berasaskan emas secara patuh syariah melalui produk Muamalat Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu), di samping menghargai pelanggan setia yang memilih solusi kewangan Islamik yang beretika.

“Sepanjang tempoh 10 bulan penganjuran, Kempen GEME 2.0 telah mencatat kejayaan memberangsangkan dengan menjana pendapatan melebihi RM40 juta dan jumlah pembiayaan keseluruhan mencecah RM811 juta,” katanya.

Bank itu berkata prestasi berkenaan mencerminkan tahap keyakinan yang tinggi daripada pelanggan terhadap produk Ar-Rahnu.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Perbankan Runcit Bank Muamalat Mohammad Zalman Jalil. Tiga pemenang utama menerima barangan kemas bernilai RM200,000.

“GEME 2.0 membuktikan bahawa Ar-Rahnu bukan sekadar instrumen kewangan, tetapi satu bentuk sokongan yang sah, segera dan beretika. Ia selari dengan keperluan masyarakat masa kini.

“Sambutan luar biasa daripada pelanggan di seluruh negara dengan pelbagai latar belakang, menunjukkan kepercayaan yang kukuh terhadap Ar-Rahnu,” menurut Mohammad Zalman.

Ini sekali gus memperkukuh komitmen bank itu untuk terus menjadi rakan kewangan Islam yang diyakini, bukan hanya pada waktu senang, tetapi lebih-lebih lagi dalam saat-saat yang memerlukan, tambahnya.

Berikutan sambutan hangat terhadap GEME 2.0, Bank Muamalat turut mengumumkan pelancaran rasmi GEME 3.0 bermula 1 Mac hingga 31 Disember, 2025, dengan hadiah keseluruhan bernilai RM320,000 dalam bentuk barangan emas tulen.

Untuk maklumat lanjut mengenai Ar-Rahnu dan Kempen GEME 3.0, sila layari www.muamalat.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di talian 03-2600 5500.

-- BERNAMA