KDNK ASEAN-6 Diunjur Tumbuh 4.4 Peratus Pada 2025, 2026 – Maybank IB
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) ASEAN-6 dijangka menyederhana kepada 4.4 peratus pada 2025 dan 2026 berbanding 4.9 peratus dalam 2024, kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
ASEAN-6 merujuk kepada enam ekonomi terbesar dalam blok itu seperti Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, Maybank IB berkata pertumbuhan ASEAN juga dijangka lebih baik berbanding unjuran dalam separuh pertama 2025 walaupun dalam senario kejutan tarif serta geopolitik.
“Kadar tarif lebih tinggi itu memberi impak terhad ke atas pertumbuhan setakat ini berikutan perang tarif Amerika Syarikat (AS)-China yang mereda.
“Peningkatan aktiviti penghantaran barangan yang berlaku dalam tempoh penangguhan 90 hari dan dasar monetari lebih longgar juga membantu. Peningkatan pertumbuhan ke atas unjuran semasa adalah ketara bagi Singapura (+2.4 peratus) dan Vietnam (+7.3 peratus),” katanya.
Risiko penurunan serius susulan peningkatan kadar tarif AS bagi ASEAN dan China juga bukan menjadi ancaman besar memandangkan perang tarif AS-China yang semakin berkurangan.
“Negara berorientasikan eksport seperti Vietnam, Malaysia dan Thailand misalnya meraih manfaat daripada aktiviti penghantaran barangan ke AS yang telah dipercepatkan, walaupun ada sedikit kesannya dalam separuh kedua.
“Rantaian bekalan pembuatan terus dipelbagaikan dari China yang memacu pelaburan langsung asing (FDI) selain menyemarakkan pelaburan yang bercampur-campur di ASEAN, khususnya Malaysia. Pertumbuhan dalam separuh pertama itu turut disokong oleh prestasi berdaya tahan dalam ekonomi global, termasuk AS dan China,” katanya.
Maybank IB juga menyifatkan tarif AS yang lebih tinggi itu berkemungkinan besar akan menjejaskan pertumbuhan eskport ASEAN daripada suku keempat 2025.
“Bagaimanapun, tahap eksport lebih perlahan itu adalah berbeza bagi negara-negara yang menyaksikan Vietnam, Singapura dan Malaysia lebih berdaya tahan susulan tarif lebih rendah.
“Aliran masuk FDI ke dalam Vietnam dan Malaysia akan turut menyokong pertumbuhan eksport dengan meningkatkan kapasiti pengeluaran,” katanya.
Vietnam muncul sebagai penerima manfaat utama daripada peralihan rantaian bekalan sewaktu perang dagangan 1.0 pada 2018–2019, menurut laporan itu.
“Peningkatan FDI sewaktu perang perdagangan 2.0 pula berpotensi menular melangkaui Vietnam ke bahagian lain ASEAN seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand apabila kepelbagaian lokasi pengeluaran menjadi kian penting dalam senario perubahan dasar tarif.
"Tindakan tegas AS dari semasa ke semasa terhadap lencongan perdagangan dijangka menggalakkan pembangunan kandungan tempatan dan rantaian bekalan yang lebih bersepadu secara menegak dalam sesebuah negara terbabit," katanya.
-- BERNAMA