Keuntungan Bersih Ancom Nylex Turun Kepada RM63.49 Juta Untuk Tahun Kewangan 2025
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Keuntungan bersih Ancom Nylex Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025 (TK2025) susut kepada RM63.49 juta berbanding RM81.47 juta dicatatkan pada tahun kewangan 2024.
Hasil turun kepada RM1.87 bilion daripada RM1.99 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ancom berkata hasil lebih rendah itu sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan berkurangan daripada segmen bahan kimia industri disebabkan oleh harga dan volum jualan lebih rendah, manakala keuntungan bersih lebih rendah pula kebanyakannya disebabkan oleh kos pengangkutan tinggi dan turun naik pertukaran mata wang asing (forex).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya Datuk Lee Cheun Wei berkata tahun kewangan 2025 merupakan tahun mencabar, perkembangan semasa geopolitik membawa kepada kos pengangkutan tinggi dan turun naik forex yang tidak menggalakkan, seterusnya memberi kesan kepada prestasi keseluruhan.
“Tarif yang meningkat dan keadaan perdagangan tidak menentu boleh menjejaskan lagi unjuran ekonomi global dan domestik, menjadikannya semakin mencabar untuk menjangka arah aliran dalam kos bahan mentah dan harga pasaran.
“Walaupun menghadapi cabaran ini, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal positif dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan potensi untuk memperoleh kemajuan, sekiranya keadaan global stabil,” katanya.
Bagi suku keempat berakhir 31 Mei, 2025, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM17.071 juta daripada RM18.44 juta direkodkan pada suku keempat 2024, manakala hasil turun kepada RM459.4 juta daripada RM487.2 juta sebelumnya.
Untuk tahun kewangan 2025, kumpulan telah membayar dividen interim pertama menerusi pengagihan saham perbendaharaan berdasarkan empat saham perbendaharaan bagi setiap 100 saham serta dividen interim kedua melalui pengagihan saham perbendaharaan berdasarkan satu saham perbendaharaan bagi setiap 100 saham.
-- BERNAMA