BERITA TERKINI   Pestec International Bhd umum Lim Pay Chuan bukan lagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan | Ekonomi dianggarkan berkembang sederhana sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama 2025 - DOSM | KDNK Malaysia pada suku kedua 2025 dijangka berkembang 4.5 peratus, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh di sebalik cabaran global - DOSM | Perdagangan Malaysia meningkat 4.8 peratus tahun ke tahun kepada RM1.465 trilion pada separuh pertama 2025 - MITI | Mohamed Usuf pangku jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur berkuatkuasa hari ini - Bukit Aman | 

Saliran Lantik CFO Yong Wai Kin Sebagai Pengarah Eksekutif

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Saliran Group Bhd melantik Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat, Yong Wai Kin sebagai Pengarah Eksekutif berkuat kuasa hari ini.

Syarikat pembekal dan pengedar paip itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan itu mencerminkan keyakinan lembaga pengarah terhadap kepimpinan dan kepakarannya ketika Saliran terus mengorak langkah dengan trajektori pertumbuhan selepas langkah tawaran awam permulaannya (IPO).

“Yong, yang telah berkhidmat sebagai CFO Saliran sejak Mei 2022, mempunyai lebih tiga dekad pengalaman dalam bidang kewangan, audit dan pengurusan korporat merentasi pelbagai industri termasuk pembuatan, automotif, media dan minyak sawit.

“Sejak menyertai Saliran, beliau memainkan peranan penting dalam mengetuai pengurusan kewangan syarikat dan merupakan individu utama yang mendorong kejayaan penyenaraian Saliran di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2025,” kata kenyataan itu.

Sebelum menyertai Saliran, Yong pernah memegang jawatan kepimpinan kanan termasuk sebagai Pengarah Eksekutif dan CFO di Mann Seng Metal International Ltd serta membantu penyenaraian syarikat itu di Bursa Singapura pada Mei 2010.

“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai CFO di Econframe Bhd, menyelia hal ehwal kewangan dan korporat kumpulan serta memainkan peranan utama dalam penyenaraian awam syarikat itu pada Oktober 2020.

“Yong merupakan ahli felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA), dan memiliki diploma tinggi  dalam perakaunan daripada London Chamber of Commerce and Industry (LCCI),” katanya.

-- BERNAMA