BERITA TERKINI   Speaker Rus'sele Eizan tarik balik notis pemakluman keperluan PRK bagi tiga kerusi DUN Perlis | Kerajaan Negeri Perlis isytihar esok sebagai cuti peristiwa - Menteri Besar | Ketua Staf Markas ATM Azhan Md Othman dilantik Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa 1 Jan 2026 - Mohamed Khaled | 

Peningkatan Perdagangan Pada Separuh Pertama Bukti Kekuatan Perdagangan Luar Malaysia - Zafrul

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Peningkatan nilai kumulatif perdagangan tertinggi dalam sejarah sebanyak 4.8 peratus kepada RM1.465 trilion pada separuh pertama 2025 mencerminkan kekuatan dan ketahanan kedudukan perdagangan luar Malaysia. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata negara turut menyaksikan peningkatan eksport memberangsangkan ke pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Taiwan, dan Mexico.

"Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sentiasa komited untuk membina ekosistem perdagangan yang lebih kukuh dengan mempelbagaikan pasaran eksport dan memperkukuh hubungan perdagangan melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). 

"Ayuh kita kembangkan jangkauan global Malaysia," katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.

Tengku Zafrul berkata lebihan dagangan negara melonjak kepada RM8.59 bilion pada Jun 2025, berbanding RM759.9 juta pada Mei 2025, menandakan peningkatan bulan ke-62 berturut-turut sejak Mei 2020.

Menurutnya, faktor utama yang memacu eksport negara pada Jun termasuklah eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, yang mencatatkan pertumbuhan dua digit untuk 15 bulan berturut-turut.

"Ini turut disokong oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, serta barangan elektrik dan elektronik (E&E)," katanya.

-- BERNAMA