Pasaran Getah Ditutup Tinggi, Didorong Kenaikan Harga Minyak Mentah
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Pasaran getah ditutup tinggi pada Jumaat, didorong harga penanda aras minyak mentah yang lebih kukuh serta kebimbangan terhadap kekurangan bekalan susulan gangguan cuaca hujan di negara pengeluar utama, kata peniaga.
Ketika laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent meningkat 0.19 peratus kepada US$100.19 setong.
Peniaga berkata sentimen pasaran turut didorong oleh kenaikan yang dialami niaga hadapan getah Shanghai serta keyakinan terhadap prospek eksport China, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.
“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bercampur-campur, ketidaktentuan geopolitik berterusan di Asia Barat, serta pendirian berhati-hati terhadap dasar perdagangan dan tarif AS,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meneruskan kenaikan pada Jumaat dan berada di landasan untuk merekodkan kenaikan mingguan ketiga berturut-turut, disokong oleh harga fizikal Thailand yang lebih kukuh ekoran kebimbangan bekalan berkaitan cuaca.
Pada masa sama, harga getah dijangka terus disokong oleh kemungkinan kekurangan bekalan berikutan ribut dan banjir mengancam tanaman di Thailand sebagai pengeluar utama, katanya.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat 2.5 sen kepada 882.50 sen sekilogram, iaitu paras tertinggi sejak 26 Ma, 2025, manakala lateks pukal naik enam sen kepada 756 sen sekilogram.
-- BERNAMA