CLMT Optimis Prospek Separuh Kedua, Namun Berhati-hati Impak SST, Tarif Tenaga Baharu

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) optimis terhadap prospeknya bagi separuh kedua 2025, disokong oleh pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang tahun lepas.

Bagaimanapun, firma itu kekal berhati-hati terhadap potensi impak daripada semakan dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta caj tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd (CMRM) merangkap Pengurus CLMT Yong Su-Lin berkata impak semakan SST terhadap kos operasi dijangka minimum, manakala cukai ke atas sewaan akan dipindahkan kepada penyewa.

“SST kini dikenakan ke atas pajakan dan sewaan CLMT, namun kami boleh memindahkan cukai tersebut kepada penyewa kami.

“Bagi perbelanjaan operasi (opex), kami menjangkakan kesan yang minimum kerana sebahagian besar daripada opex kami sebelum ini sudah pun dikenakan SST,” katanya kepada pemberita semasa taklimat maya keputusan suku kedua 2025 CLMT hari ini.

Berhubung kos elektrik, Yong berkata syarikat akan terus memantau pelaksanaan mekanisme pelarasan kos bahan api automatik atau Automatic Fuel Adjustment, yang menggantikan mekanisme pelepasan kos tidak berimbang (Imbalance Cost Pass-Through).

Beliau berkata elektrik merangkumi kira-kira 40 peratus daripada jumlah opex, namun sebahagian besar kos itu dapat diimbangi oleh sumbangan daripada penyewa.

Mengenai sentimen pengguna, Yong berkata masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya impak peluasan SST kerana kesannya terhadap pengunjung pusat beli-belah belum ketara.

Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025, sebanyak 241 perjanjian pajakan runcit baharu dan diperbaharui telah dimeterai, melibatkan keluasan 507,795 kaki persegi. 

Selain itu, Yong berkata pelarasan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini dijangka mengurangkan kos faedah, khususnya bagi pengeluaran pinjaman akan datang serta pembiayaan semula pinjaman.

“Pinjaman berkadar tetap kini merangkumi kira-kira 79 peratus daripada portfolio pinjaman kami, namun kami masih mempunyai baki pinjaman untuk dikeluarkan bagi pembelian aset baharu. Penurunan OPR akan membantu mengurangkan perbelanjaan faedah kami pada masa depan,” katanya.

CLMT dijangka melengkapkan tiga pembelian yang diumumkan sebelum ini menjelang suku ketiga atau akhir 2025. Aset tersebut melibatkan tiga kilang industri di Nusajaya Tech Park, Iskandar Malaysia, Johor; sebuah hartanah logistik moden berautomasi di Elmina Business Park, Selangor; dan tiga kilang industri di Senai Airport City, Johor.

Yong berkata pihaknya kini giat meneroka peluang pengambilalihan baharu, dengan fokus utama dalam sektor industri.

-- BERNAMA